
NEGARA pada Sabtu dikejutkan dengan berita pilu mengenai kematian seorang pelajar perempuan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang maut akibat kemalangan bas ketika berjalan untuk menaiki kenderaan itu dalam kampus universiti terbabit.
Dalam insiden sekitar pukul 8.45 pagi itu, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, dari FELDA Chemplak, Labis di Johor, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abd Rahim berkata, kemalangan berlaku di perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana kampus itu membabitkan dua bas.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah bas dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di perhentian bas untuk mengambil penumpang.
Bagaimanapun,bus terbabit kemudiannya dipercayai secara tiba-tiba dilanggar oleh sebuah bas lain yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah belakang.
Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan pada Sabtu.
Impak perlangggaran berkenaan menyebabkan bas yang berhenti di hadapan itu menggelonsor ke hadapan lalu melanggar besi penghadang sebelum menghimpit penuntut perempuan terbabit.
Ketika itu, mangsa sedang berjalan menunggu giliran untuk menaiki bas yang melanggarnya.
Akibat kemalangan itu, mangsa yang cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 6.30 petang ketika menerima rawatan,
Mohd Razi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
UUM dalam satu kenyataan memaklumkan pihak universiti sedang menunggu laporan lengkap berhubung kemalangan berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata pihak universiti sudah mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM menghubungi polis bagi menyiasat insiden itu.
Di media sosial, rata-rata warganet turut berduka atas insiden yang berlaku dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Dalam pada itu, individu dipercayai staf universiti yang difahamkan terlibat dalam proses membantu pengurusan melibatkan keluarga mangsa juga tampil membuat perkongsian di Facebook.
Dalam satu hantaran, pengguna akaun, Sharima Ruwaida Abbad memaklumkan keluarga pelajar terbabit dilaporkan sudah berada di Sintok pada Sabtu dengan menaiki penerbangan dari Johor.
"Kesian keluarga pelajar, datang dari Johor, flight asyik delayed sahaja. Semoga keluarga pelajar diberi kesabaran. Keluarga bukanlah orang senang, anak pula anak sulung, harapan keluarga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram