[VIDEO] Langgar mati rider di JB: Pemandu BMW mengaku tak salah bawa kereta mabuk, pamer no plat palsu


Zi Kang (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan.

SEORANG pekerja bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Selasa atas dua pertuduhan, termasuk memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan dalam insiden menyayat hati yang berlaku awal pagi Ahad lalu.

Memetik laporan Kosmo!, tertuduh, Kok Zi Kang, 25, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memandu kereta mewah jenis BMW 530i ketika berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan, iaitu 26 miligram (mg) alkohol bagi setiap 100 mililiter (ml) darah.

BACA LAGI : [VIDEO] Polis JB reman pemandu mabuk rempuh maut 2 lelaki bantu mangsa kemalangan

BACA LAGI : [VIDEO] Pemandu mabuk rempuh rider bantu mangsa kemalangan sampai maut di JB ada 22 rekod kesalahan trafik

 

Tindakan itu mengakibatkan kematian Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, seorang penghantar makanan yang ketika itu sedang membantu mangsa kemalangan lain.

Kejadian berlaku di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya, Johor Bahru kira-kira pukul 2.10 pagi pada 13 April lalu.

Pertuduhan kedua pula melibatkan penggunaan nombor pendaftaran yang tidak sepadan dengan kenderaan dipandu, yang dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi hari sama di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

Zi Kang didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1)(6) akta sama (pindaan 2020), serta Seksyen 108(3)(f) bagi kesalahan nombor pendaftaran palsu.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Salleh mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram