Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian


  • Bizz
  • Sabtu, 15 Mac 2025

Baharudin turut berkongsi ilmu dan memberi terhadap petani kecil. — Coach Bahar

PADA 2000, Baharuddin Mohamed yang baru mencecah usia 22 tahun nekad pulang ke kampung di Muar demi menjaga ibunya, Noriah Othman.

Langkah diambil anak bongsu daripada empat beradik itu bukan keputusan yang mudah, apatah lagi baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mengusahakan beberapa bisnes di Lembah Klang termasuk syarikat percetakan di Shah Alam, Selangor. Ini termasuk mengendalikan beberapa projek teknologi maklumat (IT) di agensi kerajaan dan swasta.

BACA LAGI: 3 tahun 'berumah' di gudang, turun naik bas Ipoh ke KL, jerih perih sedekad Azzim demi Bulan Bintang

BACA LAGI: Bukan sukan mahal, bekas atlet tenis profesional negara teroka potensi pickleball di Malaysia

Graduan sains komputer daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, itu memberitahu, ketika itu tidak mempunyai apa-apa perancangan atau sebarang sumber pendapatan.

Bagaimanapun, tindakan drastik yang diambil menjadi satu rahmat.

Selain berada di samping ibu tersayang, beliau turut berpeluang meneroka potensi ekonomi boleh dibangunkan di tempat kelahirannya, Kampung Sungai Belukar, Muar, Johor.

D'Impian Agro Farm beroperasi di kawasan seluas 13 ekar. — D'Impian Agro Farm

Pada usia 41 tahun, beliau yang turut memiliki sarjana dalam bidang industri komputer daripada UKM dan ijazah kedoktoran kecerdasan buatan robotik daripada Universiti of Nottingham, United Kingdom (UK) membuat keputusan berhenti kerja sebagai pensyarah untuk membuka ladang pertanian.

Kini, beliau juga dikenali sebagai Coach Bahar merupakan pemilik kepada D'Impian Agro Farm yang beroperasi di kampungnya.

Memiliki keluasan 5.26 hektar, ladang tersebut mengeluarkan pelbagai jenis hasil pertanian.

Majoriti menemu bual Baharuddin yang kini berusia 49 tahun bagi mengetahui lebih lanjut perjalanannya berhijrah dari bandar ke kampung dan usahanya dalam membangunkan D'Impian Agro Farm.

1. Berpindah ke kampung demi menjaga ibu sanggup meninggalkan perniagaan di Lembah Klang tanpa sebarang perancangan dan sumber pendapatan lain. Bagaimana anda bangkit memulakan hidup baharu?

Peringkat awal memang susah. Tapi saya cuba berkembang sedikit demi sedikit sambil memikirkan macam mana nak hidup di kampung. Kemudian, saya dapat pekerjaan sebagai pensyarah di Batu Pahat, Johor.

Pun begitu, sebelum itu sudah lebih setahun buat kerja kampung seperti berkebun tanam serai dan sebagainya. Lantas, sebaik menginjak usia 41 tahun, saya buat keputusan berhenti kerja sebagai pensyarah dan menjadikan pertanian kerjaya tetap.

Baharudin bergambar di salah satu ladang diusahakan beliau. — Coach Bahar

Saya tanam melon, cili, terung dan bela ayam, lembu, kambing dan ikan.

Jadi, sekarang ini saya mengusahakan 7.28 hektar tanah di D'Impian Agro Farm. Pelbagai aktiviti bisnes pertanian dijalankan termasuk menjual hasil tanaman dari ladang.

Lebih 70 peratus hasil tanaman dijual secara dalam talian.

2. Apakah cabaran utama dihadapi sepanjang tempoh tersebut?

Cabaran datang berperingkat. Peringkat permulaan kurang mendapat sambutan dan kepercayaan orang sekeliling. Selain itu, sukar untuk mendapat pekerja.

Cabaran lain pula untuk membangunkan. Ini adalah fasa yang sangat kritikal kerana perlukan modal yang banyak. Tambahan pula, saya tidak mendapat sebarang pinjaman atau geran daripada pihak kerajaaan. Modal permulaan dikeluarkan sekitar RM10,000. Daripada situ saya berkembang sedikit demi sedikit.

Cabaran ketiga dari segi pemasaran. Ya, kita mampu menanam buah, namun selepas hasilnya menjadi gagal pula kerana tidak tahu cara untuk pasarkan.

Cili hidup antara hasil tanaman di ladang D'Impian Agro Farm. — Coach Bahar

3. Boleh kongsikan bagaimana anda menyedari potensi ekonomi di kampung?

Pengalaman berada di luar negara banyak mengajar. Selain pernah mengembara di 42 negara, saya pernah tinggal lebih 6 tahun di luar negara. Di situ saya lihat sendiri misalnya di Eropah dan UK yang mana pertanian jadi satu kerjaya yang sangat tinggi.

Selain menjanjikan pendapatan tinggi, orangnya pun 'tegap-tegap'. Maksudnya kaya raya. Tidak seperti di Malaysia. Kalau masuk sektor pertanian terus membayangkan miskin, duduk dekat kampung, susah dan tak berpelajaran. Kalau dari segi pilihan kerjaya pun jadi pilihan terakhir.

Berikutan itu saya ingin buktikan bahawa pertanian adalah satu kejayaan dan ia mampu dijadikan salah satu daripada sumber pendapatan.

Pengalaman menetap dan belajar di luar negara secara tidak langsung membuka mata Baharudin (kiri) mengenai banyak perkara, satu daripadanya ilmu sektor pertanian. — Coach Bahar

4. Bagaimana anda melihat potensi ekonomi di kampung?

Sebenarnya, tanah dan pertanian ini adalah kekayaan yang ditinggalkan oleh masyarakat di Malaysia, walhal ia mmepunyai potensi sangat besar.

Kalau memahami dengan baik aktiviti pertanian ada input, proses dan output. Cuma kita selalu didedahkan pertanian itu proses semata-mata. Contoh, bela ayam, hakikatnya banyak lagi perkara lain berkaitan ayam antaranya anak ayam dan dedak.

Jadi, kenapa orang muda ataupun mereka yang berminat dengan pertanian tidak membuat kajian tentang macam mana nak buat dedak ayam dan anak ayam itu dibesarkan.

Bayangkan, anda membela anak ayam dan keluarkan 4,000 ekor sebulan, barangkali boleh memperoleh RM16,000 jika seekor dijual pada harga RM4.

Di situ potensi masih belum diteroka kerana persepsi orang kita duduk di kampung saja mesti kerjakan sawit atau orang kampung itu susah.

Antara pengunjung yang berkunjung di D'Impian Agro Farm. — D'Impian Agro Farm

5. Nasihat kepada mereka yang ingin menceburi bidang pertanian tapi masih ragu-ragu?

Saya berharap anak muda yang ingin menceburkan diri, jangan beranggapan pertanian ini mudah.

Masuk sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana sektor ini ada potensi besar dan apabila melibatkan orang yang betul, maka akan lebih banyak perkara dan sejarah manis mampu dicapai.

Seterusnya, pertanian perlu diinovasikan supaya kelihatan 'seksi' untuk menarik minat anak muda. Maksudnya pertanian ini perlu diangkat supaya kita banyak melahirkan lebih banyak petani berjaya dan hasilkan kisah-kisah positif.

Impaknya, orang ramai akan sedar bahawa pertanian ini adalah satu pilihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram