[VIDEO] Bukan jenis 'kacang lupakan kulit', Gabriel Nistelrooy belanja bekas coach terbang ke SSI


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Gabriel Nistelrooy disahkan sebagai penjaring terbanyak Piala MFL 2024/2025 selepas merekodkan 24 gol. — Facebook/JDT

PIALA Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) II dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Penang FC II dengan keputusan 7-0 dalam aksi terakhir mereka pada Isnin. 

Kemenangan itu menyaksikan JDT II menamatkan saingan Piala MFL di tangga pertama selepas mengumpul 53 mata manakala pencabar terdekat, Selangor FC terpaksa berpuas hati selaku naib juara biarpun turut menewaskan Kedah Darul Aman FC B 7-0.

Kejayaan JDT II bertambah manis apabila penyerang utama mereka iaitu Gabriel Nistelrooy Tamin disahkan sebagai penjaring terbanyak Piala MFL 2024/2025 selepas merekodkan 24 gol secara keseluruhan.

BACA LAGI: Duo beradik, Harry-Haykal anggap satu cabaran tercalon bersama peledak JDT II

BACA LAGI: Curi 'limelight' pemain senior, larian bekas pelajar SMK Kulim bantu JDT II rangkul trofi Piala MFL

Pencapaian itu melayakkan anak jati Miri, Sarawak itu tercalon dalam kategori Pemain MFL Terbaik untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025 bersama duo adik-beradik dari Selangor FC II, Muhammad Harry Danish Mohd Haizon dan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon.

Momen manis Gabriel Nistelrooy dalam kerjaya bola sepaknya itu turut dikongsi bersama individu istimewa dalam hidupnya, apabila dia menjemput bekas jurulatihnya iaitu Hakimi Najmi menyaksikan detiknya mendapat pingat juara Piala MFL musim ini.

Menerusi perkongsian Hakimi pada laman TikTok, jurulatih itu menceritakan bahawa Gabriel Nistelrooy sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membeli tiket penerbangan, tempat penginapan dan tiket perlawanan semata-mata mahu membawa bekas jurulatihnya menyaksikan aksi terakhirnya. 

Difahamkan, tindakan murni pemain berusia 25 tahun itu adalah untuk mengabadikan kejayaannya membantu JDT II bersama individu yang mengenal bakatnya sejak hari pertama dan membantunya di awal karier bola sepaknya. 

"Coach mesti datang ke Johor Bahru (JB). Ini momen yang penting dalam hidup saya dan perlu dikongsikan bersama coach. Ada rezeki saya kalungkan coach pingat kejuaraan MFL 2024/2025. Datanglah coach

"Tiket penerbangan Miri-JB-Miri, bilik hotel dan pengangkutan. Tiket masuk ke Stadium Sultan Iskandar, saya dah sediakan untuk coach

"Demi 'The Iban Warrior', coach datang ke bumi JB kerana nilai kemanusiaan itu amat tinggi mengatasi segala-galanya. Jadilah manusia yang memuliakan manusia," kongsi jurulatih itu pada video berkenaan. 

Menambah nostalgia, Hakimi turut dibawa ke Padang Latihan Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor iaitu lokasi yang menyaksikan detik permulaan Gabriel membina nama sekitar lapan tahun lalu, sebelum menyarung jersi Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram