
BEK pertahanan Sabah FC, Daniel Ting, baru-baru ini mengungkapkan ucapan yang menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya bersama Sang Badak.
Semasa memberi kata-kata semangat kepada barisan pemain Sabah FC II sebelum perlawanan Piala MFL menentang Negeri Sembilan FC pada 14 April, Ting seolah-olah memberi bayangan bahawa perlawanan tersebut mungkin merupakan yang terakhir untuknya bersama Sabah FC.
Video ucapan tersebut dimuat naik di platform media sosial rasmi pasukan, yang turut memperlihatkan semangat dan sokongan yang tinggi daripada Ting untuk Sabah FC II.
BACA LAGI: KDA FC kembali bernyawa, penaja baharu tampil selamatkan Sang Kenari musim depan
BACA LAGI: Lagu See You Again jadi klu jodoh Safuwan Baharudin bersama Gergasi Merah terlerai sudah
“Hari ini mungkin kali terakhir kita boleh pakai jersi Sabah. Saya tak tahu, kita semua tak tahu. Saya mahu menang untuk pasukan buat kali terakhir,” katanya.
Kata-kata itu telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong Sang Badak yang merasakan bahawa ia adalah petunjuk bahawa Ting tidak akan bersama pasukan tersebut pada musim hadapan.
Selain Daniel, skuad tersebut turut diperkuatkan oleh dua pemain senior, Jafri Firdaus Chew dan Park Tae-su.
Sabah II berjaya meraih kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan FC dengan Ting, Azhad Harraz Arman dan Jafri Firdaus masing-masing satu mencetak gol.
Ucapan pemain berketinggian 1.72 meter itu tidak hanya mencetuskan kesedihan dalam kalangan penyokong pasukan, tetapi juga membawa spekulasi mengenai masa depannya di Sabah FC.
"Sedih pula dengar last speech si Daniel Ting, harap ramai pemain Sabah FC akan kekal," kata Walter FK.
"Macam ada maksud lain di sebalik kata-kata dia, kekal saja di Sabah," kata Part Rew.
"Terbaik Ting, pandai juga cakap Melayu, sedih pula dengar ucapan terakhir dia itu, kekal saja di Sabah," kata Ivy Natalia Rasayung.
Meskipun spekulasi mengenai masa depan bek berusia 33 tahun itu masih belum jelas, namun ucapannya memberikan bayangan bahawa mungkin penyokong The Rhinos akan melihat perubahan dalam pasukan Sabah FC pada musim hadapan.
Jika melihat kepada Transfermarkt, kontrak Ting bersama Sabah FC akan tamat pada 30 April 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram