
ISU hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional di Malaysia sentiasa menjadi perbincangan awam di Malaysia.
Ia terutamanya melibatkan jumlah peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman pendidikan mereka.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa hutang keseluruhan PTPTN kini mencecah RM40 bilion.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
Susulan itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang menimbangkan kajian semula kadar pinjaman dan terma bayaran balik PTPTN demi membantu peminjam serta menangani isu tunggakan pinjaman yang tinggi.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berasingan berkata, PTPTN akan terus membantu peminjam menyelesaikan hutang melalui rundingan pembayaran balik yang lebih fleksibel dan tidak membebankan menerusi pelbagai pendekatan serta kaedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pendekatan penuh empati yang dilaksanakan PTPTN adalah bagi memastikan semua ruang diberikan kepada peminjam untuk melunaskan hutang, selari dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu Ihsan.
"Ini juga bagi memastikan pendidikan tinggi di negara ini kekal inklusif, mampan dan relevan untuk generasi akan datang.
Menurut KPT, selain hutang keseluruhan PTPTN ketika ini yang mencecah RM40 bilion, hutang tertunggak institusi berkenaan kini berjumlah RM11 bilion.
Ujar kenyataan itu lagi, KPT turut menyedari keluhan pelajar dan sedang meneliti secara menyeluruh kemapanan serta kedudukan kewangan PTPTN dalam usaha mengkaji semula kadar pinjaman yang ditawarkan.
"KPT melalui institusi pengajian tinggi masing-masing turut peka dan menyediakan bantuan sewajarnya kepada pelajar yang berkeperluan dan menghadapi kesukaran sepanjang pengajian," katanya.
Sementara itu, di media sosial, beberapa pengguna turut berkongsikan pandangan mereka mengenai kaedah yang mungkin boleh dilaksanakan bagi membantu menyelesaikan isu tersebut.
Antaranya kolaborasi bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pengenalan semula senarai hitam bagi sekatan perjalanan ke luar negara dan juga semakan semula kriteria kelulusan.
"PTPTN sepatutnya berkolaborasi dengan KWSP. Lakukan penolakan automatik daripada Akaun 2 KWSP (untuk bayar PTPTN), " tulis Aliff Baha.
Untuk rekod, Akaun 2 KWSP, yang kini dikenali sebagai Akaun Sejahtera, merupakan salah satu daripada tiga akaun dalam struktur baharu KWSP.
Ia kini diwujudkan untuk membantu ahli KWSP dalam memenuhi keperluan kewangan penting sebelum bersara seperti pembelian rumah dan menampung pembiayaan pendidikan anak-anak.
Menurut KPT, selain hutang keseluruhan PTPTN ketika ini yang mencecah RM40 bilion, hutang tertunggak institusi berkenaan kini berjumlah RM11 bilion. — Gambar hiasan
Dalam pada itu, Wendy Rodrigues pula berpandangan bahawa PTPTN seharusnya lebih tegas dalam melaksanakan pungutan pinjaman daripada peminjam.
"Kenapa beri mereka begitu banyak kelonggaran dan layanan yang terlalu berlembut? Seseorang yang ada tunggakan RM3,000 dengan LHDN boleh disekat di lapangan terbang, tapi dengan peminjam PTPTN yang tidak bertanggungjawab, layanan anda begitu lunak?
"Perbaiki juga proses kelulusan anda. Sesiapa yang ibu bapa atau adik-beradik mereka adalah peminjam yang gagal membayar pinjaman, jangan luluskan permohonan.
"Kenal pasti corak golongan peminjam gagal bayar ini dan elakkan memberi pinjaman kepada pemohon masa depan yang memiliki profil serupa," tulisnya.
Untuk rekod, untuk rekod, PTPTN pernah mengeluarkan senarai hitam nama peminjamnya yang gagal melunaskan hutang kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk sekatan ke luar negara.
Bagaimanapun, langkah itu dihentikan sejak Jun 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram