
PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengembalikan semula larangan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenaraihitamkan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan, apabila larangan perjalanan sebelum ini dilaksanakan, ia memberi kesan positif kepada pembayaran balik.
Beliau bagaimanapun berkata, larangan itu dimansuhkan menyebabkan bayaran balik pinjaman PTPTN menurun.
BACA LAGI: PTPTN terima RM90.42 juta daripada kerajaan Sarawak, bantu selesai 30 peratus hutang peminjam
BACA LAGI: 'Hasrat nak PTPTN mansuh tak tercapai, ada sampai minta kurangkan tunggakan jadi RM150'
Mustapha ketika menjelaskan tentang pertimbangan larangan peminjam PTPTN ke luar negara. — The Star
"Pada ketika ini, kami sedang meneliti perkara ini untuk menentukan sama ada ini kaedah terbaik.
"Terdapat kaedah lain yang sedang dipertimbangkan juga.
"Ini masih dalam pertimbangan. Kami belum membuat keputusan sama ada untuk melaksanakan semula larangan perjalanan terhadap peminjam," katanya pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar sama ada kerajaan bercadang untuk mengembalikan larangan perjalanan yang telah dibatalkan pada 2018.
Beliau menambah bahawa PTPTN mampu mengutip RM4 bilion dalam pembayaran balik pinjaman apabila larangan itu dilaksanakan.
Bagaimanapun, terdapat pengurangan dalam pembayaran balik selepas ia dibatalkan.
Mustapha berkata, sejumlah 2.44 juta peminjam, atau 86.45 peratus daripada penerima pinjaman PTPTN sudah mula membayar balik pinjaman masing-masing.
Daripada 2.44 juta itu, kira-kira 1.044 juta peminjam sudah membayar sepenuhnya pinjaman mereka.
"Ini termasuk 585,638 peminjam yang membuat bayaran balik tetap tanpa tunggakan, manakala 817,872 peminjam membuat pembayaran tidak teratur dan mempunyai tunggakan," katanya.
Katanya, 383,637 peminjam atau 13.55 peratus daripada 4.10 juta peminjam yang pinjamannya telah diluluskan dan tidak pernah membuat sebarang pembayaran balik sehingga Disember 2024.
Beliau turut menasihatkan mereka yang tidak dapat melunaskan pinjaman supaya pergi ke pejabat PTPTN berhampiran untuk berbincang.
"Bagi mereka yang sudah tamat pengajian dan menganggur atau suri rumah, PTPTN adalah praktikal dan bertimbang rasa.
"Kami menggalakkan peminjam yang tidak mampu membayar balik (pinjaman) untuk pergi ke pejabat PTPTN berhampiran dan berbincang dari hati ke hati," tambahnya.
"Kami boleh menyusun semula pembayaran. Kami tidak akan memberi hukuman.
"Kami terbuka dan akan membincangkan penyelesaian pembayaran balik terbaik yang sesuai untuk semua pihak," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram