
KETIKA memulakan perniagaan restoran hidangan Cina Muslim pertama pada 2007, Datuk Mohd. Chan Abdullah berdepan kesukaran meyakinkan pengguna mengenai status halal makanan dihidangkan.
Tidak cukup dengan itu, status amalan dan agamanya yang ketika itu baru memeluk Islam turut dipersoalkan.
Namun, cabaran tersebut sama sekali tidak melunturkan semangat beliau.
BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga
BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan
Berkat kerja keras dan kepercayaan terhadap nilai ingin dikongsikan bersama pelanggan, beliau akhirnya berjaya membina perniagaan restoran tersebut yang menyajikan hidangan masakan ala Kantonis dengan cita rasa tempatan sehingga berkembang sebanyak 23 rangkaian di seluruh negara.
Kini, Mohd Chan Group sudah mencecah ulang tahun ke-18 beroperasi dengan syarikat terbabit diterajui anak bongsunya, Datuk Nik Chan.
Nik Chan mengakui untuk berada di tahap ketika ini bukanlah satu perjalanan yang mudah.
"Kalau tanya rahsia, saya rasa memang tiada. Untuk saya, F&B (industri makanan dan minuman) bukan perniagaan yang tidak mudah.
"Tapi paling penting jangan putus asa. Percaya terhadap impian dan kejar impian tersebut," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun ke-18 Mohd Chan Group yang di Bangi Avenue Convention Center (BACC), Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Kini, selain rangkaian Mohd Chan Restaurant, Mohd Chan Group turut memiliki tiga lagi jenama iaitu Chan Mari Chan yang menampilkan restoran berkonsep bistro, Mohd Chan Dim Sum (memfokuskan hidangan dim sum) dan Mohd Chan Express (makanan bungkus).
Ketiga-tiga rangkaian jenama terbabit turut menyediakan perkhidmatan katering kecuali Mohd Chan Express.
Sementara itu, merujuk kepada direktori halal di platform semakan JAKIM, Mohd Chan Dim Sum Sdn. Bhd., dan Mohd Chan Food Sdn. Bhd., kedua-duanya berdaftar dengan pensijilan halal badan tersebut.
Dalam pada itu, status sebagai anak bongsu sama sekali tidak bermakna perjalanan mudah buat Nik Chan dalam penglibatannya terlibat bersama perniagaan yang diasaskan oleh bapanya.
Nik Chan kini mengambil alih teraju operasi perniagaan Mohd Chan Group daripada bapanya.
Selain perlu menjadi tukang masak di cawangan pertama syarikat itu di Bukit Beruntung, Selangor, beliau turut pernah melakukan pelbagai kerja selepas menamatkan pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antaranya termasuk sebagai jurujual baju dan telefon bimbit serta melakukan kerja kontrak untuk pengubahsuaian rumah dan bangunan.
Pengalaman tersebut turut membentuk nilai yang dipegang oleh beliau dalam melihat tahap kejayaan diperoleh syarikatnya.
Menurut Nik Chan, dalam dunia perniagaan semakin kompetitif, kejayaan sejati bukan sahaja diukur daripada kemampuan membina perniagaan menguntungkan, malah juga dari impak positif yang mampu dirasai oleh masyarakat.
Mohd. Chan (dua dari kanan) ketika majlis meraikan sambutan ulang tahun ke-18 perniagaannya.
Malah, beliau berkata, syarikatnya tidak akan sekali-kali mudah berasa selesa terhadap pencapaian yang diperoleh ketika ini.
"Kejayaan bukan tempat untuk berehat, tetapi tanda bahawa cabaran yang lebih besar menanti kerana hari ini dunia semakin memahami bahawa makanan halal bukan sekadar keperluan agama tetapi satu standard global yang melambangkan kualiti, kebersihan dan integriti Malaysia yang mempunyai satu keistimewaan
"Kita bukan hanya pengguna halal tetapi turut menjadi pencipta, inovator dan pemimpin dalam industri ini," ujarnya yang turut memaklumkan merancang untuk membuka lima lagi cawangan baharu Mohd Chan Group pada tahun ini.
Pada masa sama, Nik Chan berkata, Mohd Chan Group ketika ini turut sedang meneroka penggunaan teknologi terkini termasuk dalam melaksanakan amalan automasi dan penggunaan kecerdasan buatan bagi meningkatkan perkhidmatan kepada pengalaman serta keperluan pelanggan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram