Semak tunggakan cukai elak disekat ke luar negara sambut Aidilfitri — LHDN


  • Massa
  • Jumaat, 28 Mac 2025

LHDN memberi amaran sekatan ke luar negara akan dikenakan kepada mana-mana individu yang mempunyai tunggakan cukai.

PEMBAYAR cukai yang bercadang membuat perjalanan ke luar negara sempena cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini diingatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai mereka.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, sekatan ke luar negara akan dikenakan kepada mana-mana individu yang mempunyai tunggakan cukai.

"Tindakan itu berdasarkan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

"LHDN mengingatkan semua pembayar cukai menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang perjalanan percutian ke luar negara.

"LHDN diberi kuasa menghalang mana-mana individu meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan," katanya pada Jumaat. 

BACA LAGI :  Kerajaan kekalkan fleksibiliti bayaran balik PTPTN – KPT

BACA LAGI : Dua wanita dikesan susulan mayat bayi ditemukan dalam tandas di stesen minyak Sungai Haji Dorani

Jelas LHDN dalam kenyataan itu lagi, sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih gagal membuat bayaran cukai tertunggak selepas pelbagai peringatan dan notis diberikan.

Justeru, kata LHDN, langkah penting perlu diambil oleh pembayar cukai yang ingin ke luar negara adalah menyemak status tunggakan cukai menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di https:/mytax. hasil.gov.my.

Semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh juga dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspil.

Menurut LHDN, sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dikenakan sekatan perjalanan, mereka dimohon membuat bayaran sepenuhnya atau menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

"Sebagai maklumat tambahan, permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di portal MyTax dengan mematuhi empat syarat. 

"Syarat berkenaan adalah warga Malaysia, membuat bayaran penuh, kes sekatan perjalanan di bawah ACP 1967 dan tidak melibatkan sekatan perjalanan ke atas pengarah syarikat.

"Permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada iaitu menghubungi ‘HASİL Contact Centre’ di talian 03-8911 1000 atau berkunjung ke pejabat LHDN berhampiran," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram