
SIAPA sangka, perniagaan kecil menjual minuman kopi yang bermula dengan menumpang gerai makanan rakan kini mampu bertapak megah di pusat beli-belah ternama dalam negara.
Lebih membanggakan, pencapaian tersebut berjaya dilakukan dalam tempoh tidak sampai beberapa tahun.
Zulkhairie Razali, 33, berkata, ketika memulakan Kopi Rakyat sekitar Julai 2021, dia sememangnya tidak meletakkan sebarang harapan untuk melihat perniagaan terbabit berkembang seperti di tahap sekarang.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Ini kerana beliau yang ketika itu masih bekerja dalam bidang peruncitan memulakan perusahaan tersebut secara kebetulan selepas melihat peluang wujud dalam industri perniagaan dan makanan (F&B).
"Kopi Rakyat adalah perniagaan yang tidak dirancang sebab saya pun sebelum ini tidak pernah berniaga.
"Kemudian selepas PKP, saya lihat sektor F&B pun tak begitu terjejas waktu itu," kongsinya kepada Majoriti.
Lokasi awal gerai Kopi Rakyat yang terletak di Jalan Merdeka, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. — Kopi Rakyat
Zulkhairie yang berasal dari Kuantan, Pahang memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang peruncitan termasuk di dalam sektor perhotelan dan kafe.
Pekerjaannya itu turut membawanya merantau ke beberapa buah negeri termasuk Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Johor Bahru, Johor.
Seperti mana kebanyakan anak muda lain yang menamatkan pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Zulkhairie berkata, penglibatannya ke dalam industri peruncitan khususnya F&B adalah kerana keperluan.
"Sebabnya F&B ini senang nak ambil pekerja. Sebab itu ramai orang minat kerja ini.
"Kemudian untuk anak muda, kalau awak tiada duit pun, jika bekerja F&B, awak masih boleh pergi kerja.
"Sebabnya di tempat kerja awak boleh makan minum dekat sana disediakan," kongsinya.
Minuman kopi yang ditawarkan di gerai pertama Kopi Rakyat di Johor Bahru. — Kopi Rakyat
Bagaimanapun, selepas lebih sedekad terbabit dalam industri berkenaan, pekerjaan yang pada awalnya diceburi untuk mendapatkan pendapatan kemudiannya bertukar menjadi minat buat Zulkhairie.
Disebabkan itu, sebelum memulakan Kopi Rakyat, dia terlebih dahulu menggunakan pengalaman diperolehinya dalam bidang tersebut untuk mengenal pasti jenis minuman yang sesuai untuk dijual.
Pemerhatian yang dilakukannya di sekitar Johor Bahru menemukannya terhadap isu kekurangan minuman yang menggunakan biji kopi keluaran tempatan.
"Pada waktu itu, ramai yang jual kopi mereka guna konsep Eropah dengan jual kopi jenis Arabica yang dikeluarkan dari luar negara.
"Kemudian mereka juga gunakan mesin yang biasanya libatkan kos yang tinggi sedangkan saya nak buat perniagaan ini hanya secara sambilan," ujarnya yang kemudiannya menemui biji kopi jenis Liberica yang mana Johor merupakan antara pengeluar terbesar di Malaysia.
"Kalau dekat Indonesia, dia ada kopi dia. Begitu juga kalau kita pergi Turki, Itali dan Eropah.
"Jadi saya fikir kenapa kita tidak jual kopi yang dikeluarkan di Malaysia sendiri.
"Kopi ini juga sebenarnya digunakan di banyak kopitiam di seluruh negara," katanya yang ketika itu menetap di Ulu Tiram, Johor.
Menurut Zulkhairie, disebabkan harga biji kopi terbabit yang boleh didapati pada harga murah, beliau dapat menjual minuman pada harga serendah RM2 secawan kecil.
Ketika memulakan perniagaan tersebut, sekitar Julai 2023, dia menumpang sebahagian ruang pada gerai rakannya yang menjual takoyaki di Jalan Merdeka, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru dengan bermodalkan RM800.
Ujarnya, kesemua barangan jualannya termasuk cawan, susu dan meja dibeli sepenuhnya daripada pasar raya di Johor.
Pesanan TMJ
Selepas dua minggu berniaga, Zulkhairie berkata, jualan minumannya mendapat perhatian apabila minumannya tular selepas jualan Kopi Rakyat dimuat naik di sebuah akaun Facebook makanan berpengaruh iaitu Johor Foodie.
Ujarnya, ketika itu jumlah jualan harian kopinya meningkat kepada 300 biji cawan daripada 100 biji cawan sebelum ini dan situasi itu menyebabkan dia perlu turut dibantu oleh isterinya yang ketika itu turut menjalankan perniagaan jualan secara dalam talian.
Zulkhairie (kiri) mengambil kenangan bersama Tunku Mahkota Ismail (tengah) yang berkenan berkunjung ke gerai Kopi Rakyat. — Kopi Rakyat
Belum reda sambutan berkenaan, rezeki Zulkhairie terus dimurahkan selepas kopinya turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Ismail yang turut berkenan mencemar duli turun ke gerainya untuk menikmati Kopi Rakyat sekitar September 2021.
Menurutnya, kehadiran Tunku Mahkota Ismail yang ketika itu memegang gelaran sebagai Tunku Mahkota Johor sememangnya tidak disangka-sangka.
"Memang tak sangka. Walaupun Tunku hanya muat naik dekat Story (Instagram), dia punya impak itu memang hebat," kongsinya.
Ditanya mengenai pesanan yang disampaikan Tunku Mahkota Ismail yang lebih dikenali sebagai TMJ, Zulkhairie berkata, perkara itu masih melekat di dalam memori sehingga hari ini.
"Saya masih ingat lagi ayat Tunku waktu itu, Tunku cakap dia nak promosikan Kopi Rakyat. Tunku cakap kopi sedap, first class.
"Jadi Tunku nak promosi kedai saya dan supaya satu hari nanti kedai saya boleh pergi besar. Itulah pesanan dia," kongsi Zulkhairie yang turut memaklumkan Tunku Mahkota Ismail menggemari sajian Kopi Klasik dan Kopi 'O' Panas.
Selepas daripada kunjungan tersebut, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, jenama Kopi Rakyat mula lebih dikenali secara meluas sehingga dapat mencapai nilai jualan mencecah RM3,000 sehari selama beberapa bulan.
Kesan viral
Bagaimanapun, Zulkhairie berkata, seperti kebanyakan perniagaan lain, Kopi Rakyat turut pernah mengalami fasa kejatuhan.
Ini kerana menurutnya, selepas kira-kira enam bulan minumannya tular, sambutan mula menunjukkan kemerosotan.
Ujarnya, turut memberikan tekanan terhadap perniagaannya ketika itu adalah peningkatan harga barangan yang turut memberi kesan terhadap kos operasi.
Orang ramai beratur bagi mendapatkan minuman di kedai kopi Rakyat di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru. — Kopi Rakyat
"Seperti yang kita tahu, kalau viral ini biasanya benda ini sekejap sahaja dan memang betul pun.
"Dia punya gelombang orang datang sekejap sahaja. Bila semua orang dah rasa kopi jenama kita, lepas itu habislah gelombang fenomena tersebut," katanya yang turut pernah terfikir untuk menutup perniagaan tersebut ketika melalui fasa tersebut.
Namun, berbekalkan dengan dorongan daripada isterinya dan juga pesanan pernah dititipkan TMJ, Zulkhairie berkata, dia mengambil keputusan mencari jalan bagi meningkatkan kembali jenama kopinya.
Kopi Rakyat ketika ini mempunyai enam rangkaian kedai. — Kopi Rakyat
Pada ketika itu, impiannya adalah untuk membuka kafe Kopi Rakyat di pusat beli-belah utama bagi memperkenalkan minumannya terhadap khalayak lebih luas.
Hasratnya kemudian tercapai selepas dia menemui pelabur yang sudi membantunya melalui pembukaan kedai pertama di pusat beli-belah Toppen yang terletak di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada Februari 2024.
Selepas daripada itu, Kopi Rakyat tidak menunggu lama bagi membuka lebih banyak cawangan apabila menambah empat lagi kafe pada tahun sama termasuk di tiga tempat sekitar Lembah Klang antaranya Nu Sentral dan Pavilion Bukit Jalil.
Zulkhairie (dua dari kanan) berkata, beliau masih turun terlibat secara langsung bagi memantau operasi di rangkaian kedai Kopi Rakyat. — Kopi Rakyat
Melihat kembali perjalanan perniagaannya, Zulkhairie yang kini memegang peranan sebagai Pengarah Operasi Kopi Rakyat mengakui berdepan cabaran untuk beralih daripada menguruskan perniagaan dari tepi jalan ke pusat beli-belah.
Namun, beliau berkata, kekangan itu dapat diatasi dengan kesungguhan untuk belajar di samping terus secara langsung terlibat dalam operasi harian.
"Memang ada kejutan budaya sebab cara operasi pun lain. Kalau dulu satu kedai boleh santai-santai.
"Jadi bila sekarang ini dah ada banyak pekerja, kita perlu masukkan kita punya jiwa sepenuhnya untuk pastikan operasi sentiasa berjalan dengan baik.
"Saya juga masih terlibat secara langsung dalam Kopi Rakyat. Kalau kedai sibuk, saya akan masuk dalam dan cuba bantu buat air," ujarnya.
Dalam pada itu, Zulkhairie berkata, Kopi Rakyat kini mempunyai perancangan untuk membuka tiga lagi cawangan pada tahun ini antaranya di pusat beli Aeon Tebrau City, Aeon Bandar Dato Onn dan Terminal Gombak.
Pada masa sama, beliau berkata, Kopi Rakyat turut mempunyai sasaran besar iaitu untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2028. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram