
KEJADIAN banjir di Kampung Padang Jawa, Shah Alam, Selangor menyaksikan berlakunya satu kematian menyayat hati apabila seorang pekerja penghantaran maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik semasa berada di kediamannya pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 6.11 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mayat mangsa yang juga seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditemui di sebuah lot rumah satu tingkat di lokasi berkenaan.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
"Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan memakai seluar pendek warna hitam.
"Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan kecederaan lain pada tubuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bedah siasat yang dijadualkan 10 pagi Sabtu. — Facebook
Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mengesyaki mangsa mati terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit yang dalam keadaan rumah dinaiki air banjir.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bedah siasat yang dijadualkan 10 pagi Sabtu.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," ujarnya.
Dalam pada itu, difahamkan mangsa dikenali sebagai Mohammad Alif Najman Yusof dan berasal dari Kelantan.
Di media sosial, rata-rata warganet menzahirkan simpati atas kematian pemuda tersebut.
"Bila jadi macam itu aku terus terfikir boleh jadi dalam situasi itu dia nak hubungi kaum keluarga dia.
"Mungkin nak bagi maklum keadaan dia,tak mahu keluarga dia risau,mungkin hidup merantau dan tinggal seorang diri.
"Moga segala jasa baktinya sebagai pekerja yang menghantar barangan dan berbakti pada masyarakat diberi ganjaran disana nanti," tulis ミスレ ッド.
Dalam pada itu, terdapat juga warganet tampil memberikan peringatan mengenai kepentingan untuk menjaga keselamatan khususnya melibatka penggunaan tenaga elektrik ketika kejadian banjir.
"Jangan guna atau pasang sebarang kelengkapan elektrik semasa berada di kawasan berair," ujar Hamzah Asyrani Sulaiman.
"Takziah buat keluarga arwah. Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB banyak kali pesan tentang bahaya guna telefon ketika sedang di cas.
"Antara sebab kena renjatan disebakan pengecas telefon rosak dan arus besar AC (elektrik) masuk dalam telefon ketika dicaj. Kebetulan telefon juga ada bahan besi di bahagian badan Elak guna telefon masa dicaj," kata Mzeck Abraham.
"Perlunya pengetahuan tentang keselamatan semasa banjir. Kadang-kadang banjir ini pekara tak dijangka," ujar Mat Din.
Untuk rekod, insiden di Kampung Padang Jawa itu merupakan kes kedua maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Shah Alam.
Media pada Jumaat melaporkan seorang warga Sri Lanka, bersama seekor anjing ditemukan mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram