[VIDEO] 'JDT memang kuat...', menang atau kalah tolak tepi janji aura final 2014 ada


  • Podium
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Sri Pahang bergelar juara Piala Malaysia musim 2014 selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim ketika itu.

SEMANGAT anak jati Pahang terus berkobar-kobar menjelang pertemuan penuh bersejarah antara Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April nanti.

Pertarungan itu menjanjikan satu pertembungan epik antara pasukan yang amat bersemangat untuk meraih kejayaan, dengan Sri Pahang bertekad untuk membuktikan kehebatan mereka menentang juara bertahan, JDT.

Di sebalik persiapan pasukan, semangat penyokong Tok Gajah juga tidak kurang hebatnya.

BACA LAGI: Kami jumpa JDT dalam mood terbaik sebelum Aidilfitri — Ariff Farhan

BACA LAGI: 'Beraya di stadium', tiket percuma aksi Selangor-TFC khas buat penyokong berpakaian tradisional

Salah satu usaha yang mencuri perhatian adalah kesungguhan sebuah pembekal baju tempatan, Skopa Printing yang mahu menyemarakkan aura penyokong tegar Pahang dengan membekalkan baju khas piala berprestij itu.

Pemilik Skopa Printing, Mohd Radhi Abdul Hamid yang juga merupakan peminat tegar Sri Pahang, mengambil inisiatif untuk menghasilkan baju khas final itu bagi memperlihatkan sokongan padu penyokong terhadap pasukan kesayangan mereka.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan baju khas itu tercetus akibat semangat tidak berbelah bagi anak Pahang yang sentiasa memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Fandi Ahmad.

"Idea itu tercetus kerana Pahang ke final, selain itu kami juga memiliki kedai printing yang menghasilkan baju dan tak banyak printing yang buat macam ni, jadi kami memutuskan untuk melakukannya.

"Kami buat sebab kami adalah peminat dan pencinta bola sepak dari Pahang. Ini adalah salah satu usaha kami untuk memberi sokongan dan juga untuk mengekalkan semangat penyokong yang luar biasa.

"Setiap kali Pahang beraksi di final, semangat penyokong pasti tinggi. Kami ingin memastikan bahawa semangat itu terus membara dan memupuk rasa kebanggaan dalam setiap penyokong Pahang," katanya kepada Majoriti.

Baju khas final Sri Pahang edisi 2025 mendapat sambutan hangat penyokong Tok Gajah. 

Baju yang dihasilkan terdiri daripada dua warna utama iaitu kuning dan hitam semestinya menjadi simbol keaslian dan semangat anak jati Pahang yang melambangkan kebanggaan dan semangat juang yang tak akan pudar, lebih-lebih lagi pada saat penting seperti final Piala Malaysia.

Bukan hanya sebagai barang jualan, baju tersebut juga mencerminkan betapa pentingnya peranan penyokong dalam memberikan sokongan moral kepada pasukan.

Tidak dinafikan, semangat penyokong Pahang sebagai penyokong setia dan fanatik menjadi pemangkin kepada kekuatan pasukan di atas padang.

Hal ini kerana, setiap kali pasukan Pahang beraksi, terutamanya di final, stadium akan dibanjiri oleh ribuan penyokong yang tidak pernah jemu memberikan sokongan.

"Semangat penyokong sangat penting. Kalau kita tak bangkitkan semangat mereka, mereka pun takkan bersemangat untuk menyokong.

"Kami berharap agar penyokong Pahang terus memberikan sokongan padu dan datang beramai-ramai ke stadium," ujarnya.

Baju khas edisi final 2025 yang dihasilkan terdiri daripada dua warna utama iaitu kuning dan hitam.

Di samping itu, Radhi, 40, sempat berkongsikan bahawa permintaan untuk kedua-dua warna baju tersebut mendapat permintaan yang tinggi dari penyokong setia Tok Gajah.

"Saya tak boleh nak beri jumlah tapi apa yang saya boleh kongsikan permintaan memang tinggi sekarang," kongsinya.

Meskipun di atas kertas kemenangan pastinya berpihak kepada skuad Harimau Selatan namun anak jati kelahiran Kuantan itu berharap agar Sri Pahang menampilkan persembahan cemerlang.

"Menang atau kalah, itu tolak tepi yang penting aura final macam 2014 itu tetap ada.

"JDT memang kuat tapi manalah tahu rezeki sebab JDT pernah kalah dengan Kuala Lumpur City FC edisi 2021," katanya.

Untuk rekod, Sri Pahang pernah bergelar juara Piala Malaysia musim 2014 selepas menewaskan JDT dengan keputusan 5-3 secara agregat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram