
HATI siapa yang tidak luluh apabila melihat anak saudara yang disayanginya sejak kecil kini terbaring tidak sedarkan diri, bertarung nyawa selepas terlibat dalam satu kemalangan pada Ahad.
Itulah yang dirasai oleh Sumardy Abdul Sani, apabila anak saudara sulungnya, Muhammad Sopian Suardy (mesra dengan panggilan Pian), terlibat dalam satu kemalangan ngeri di jejambat berhampiran Lembaga Pelabuhan Klang dekat Klang, Selangor petang Ahad, sejurus pulang dari kerja syif pagi.
Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dipercayai dihimpit oleh sebuah lori treler, menyebabkan dia hilang kawalan sebelum terpelanting dan jatuh dari jejambat.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru 3 suspek lelaki ragut wanita dekat 2 lokasi berbeza di Segamat
Kejadian menyayat hati itu disaksikan oleh beberapa pengguna jalan raya yang berada berhampiran lokasi.
Menurut Sumardy, kecederaan yang dialami oleh anak saudaranya sangat serius dan menyedihkan.
“Doktor sahkan limpa Pian pecah dan terpaksa dibuang. Rahang dan tangan dia pun patah. Kini Pian ditidurkan dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah dekat Klang, Selangor.
"Keadaannya belum stabil,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya pada Ahad.
Katanya lagi, dia juga tidak sanggup berkongsi keadaan fizikal sebenar anak saudaranya selepas terjatuh dari jejambat tersebut kerana terlalu menyayat hati untuk ditatap.
"Pian ni anak saudara sulung saya. Dari kecil sangat rapat dengan saya. Dulu, bila saya balik kerja je, dialah yang jerit dari jauh, ‘Pak Ngah! Pak Ngah!’ Suara tu masih terngiang-ngiang sekarang," tulisnya lagi.
Susulan kejadian, Sumardy memohon jasa baik mana-mana saksi kejadian yang berada di lokasi tampil membantu siasatan dan membuat laporan polis.
"Cuma belum dapat kesan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) mana-mana saksi pada petang Ahad. Jika ada saksi boleh bantu dalam kes ini harap boleh tampilkan diri untuk memudahkan urusan laporan polis," rayu Sumardy.
Melalui perkongsian itu juga, rata-rata warga maya meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap nasib yang menimpa mangsa.
Ruangan komen dibanjiri dengan doa dan kata-kata semangat buat keluarga mangsa, agar terus tabah menghadapi dugaan itu.
Namun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram