[VIDEO] ‘Kami dah terbiasa, tapi tak bermakna kami tidak penat,’ wanita luah rasa kecewa banjir di Klang kerap berulang


  • Massa
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Beberapa kawasan di sekitar Selangor dilanda banjir susulan daripada hujan lebat sejak awal pagi Jumaat. — Gambar Hiasan/The Star

"KAMI sudah terbiasa, tapi terbiasa bukan bermakna kami tidak penat." Demikian luahan penuh emosi seorang penduduk Meru dekat Klang, Selangor yang berkongsi pengalaman ketika hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan perumahannya sekali lagi dilanda banjir awal pagi Jumaat.

Melalui catatan di laman Facebook Iera Yusoff menggambarkan suasana cemas bermula seawal pukul 2 pagi apabila hujan turun tanpa henti, disertai kilat dan guruh yang kuat sekali gus mengganggu tidur malam keluarganya.

"Pukul 3 saya terjaga dengan cahaya kilat menyambar masuk dari langsir yang terbuka sedikit dan pukul 4 pagi, saya tersedar lagi apabila anak cuba hidupkan suis utama, bekalan elektrik terputus," tulisnya pada Jumaat. 

BACA LAGI : Bayi lelaki 5 bulan dilaporkan meninggal dunia bawah jagaan pengasuh di Kangkar Pulai

BACA LAGI : 'Luka itu masih membekas', anak yatim kekal trauma dibuli ketika sekolah rendah

Menurutnya, sejurus selepas bekalan elektrik kembali sekitar pukul 5 pagi, telefon pintarnya tidak henti-henti menerima notifikasi daripada kumpulan komuniti penduduk Meru, yang memaklumkan paras air mula naik di beberapa kawasan.

"Status demi status masuk. Air sudah naik. Kawasan demi kawasan mula dilaporkan banjir. Tak lama lepas itu, satu pengumuman dibuat yang sebuah pusat pemindahan semmentara (PPS) dibuka di Sekolah Rendah (SK) Sungai Binjai, Meru," tulisnya lagi.

Jelas Iera Yusoff, bagi mereka terutamanya penduduk Meru, setiap kali hujan lebat berlaku, kebimbangan terhadap banjir seolah-olah menjadi satu perkara biasa yang terpaksa dihadapi.

Namun menurutnya, walaupun mereka kelihatan tenang dan tidak panik, hakikatnya mereka sudah terlalu letih dengan situasi yang berulang saban tahun.

“Kami warga Meru tidak panik. Kami sudah biasa. Tapi ini bukan kehidupan yang harus dibiasakan. Kami sudah letih. Kami sudah fobia setiap kali hujan turun. Bila hujan tak berhenti, beginilah,” katanya penuh kecewa.

Iera Yusoff turut menyatakan harapan agar pihak berkuasa benar-benar mendengar suara rakyat dan mengambil langkah serius dalam mencari penyelesaian jangka panjang.

"Semoga ada penyelesaian yang benar-benar tuntas. Kami sudah terlalu penat,” katanya.

Luahan itu menerima ratusan perkongsian dan komen warganet yang turut bersimpati dengan nasib penduduk Meru, malah ramai dalam kalangan mereka menyuarakan perkara sama iaitu isu banjir yang tidak pernah selesai.

Sehingga kini, beberapa kawasan di sekitar Selangor dilaporkan masih dinaiki air, dan usaha pemantauan serta pemindahan penduduk terus dijalankan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram