Letupan paip gas di Putra Heights nilai hartanah merudum, ambil masa bertahun pulih harga pasaran, nak sewa pun orang takut


  • Relaks
  • Selasa, 08 Apr 2025

Perkongsian salah seorang mangsa berkongsi keadaan rumahnya kesan daripada letupan paip gas di Putra Heights.

INSIDEN letupan saluran paip gas yang berlaku baru-baru ini di Putra Heights, Subang Jaya bukan sahaja menggemparkan penduduk setempat, malah memberi impak besar terhadap pasaran hartanah di kawasan berkenaan.

Tular di media sosial, sebuah banglo mewah dua tingkat yang lengkap dengan kolam renang kini dilelong pada harga RM3.33 juta hampir separuh daripada nilai asalnya.

Banglo berstatus pegangan bebas dengan keluasan 1,449 meter persegi itu kini memasuki pusingan lelongan ketujuh dan dijangka terus dibuka untuk bidaan sehingga hujung bulan ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Vicki Belo rayu netizen jaga sensitiviti isu bentuk payudara

BACA LAGI: Semarakkan bola sepak wanita, Selangor FC pertama kali tubuh 2 pasukan bagi WSL 2025

Menerusi hantaran di laman Facebook KL Selangor Lelong Properties oleh Chris Yap Auctions, rumah tersebut dikatakan berada 'sebaris' dengan kawasan letupan berdasarkan semakan imej satelit, namun jarak sebenar dari pusat kejadian tidak dinyatakan secara terperinci.

Hasrat pemilik untuk menjual kediaman tersebut bagaimanapun telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Rata-rata menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan mendakwa kawasan tersebut kini berisiko tinggi untuk didiami.

Menurut seorang ejen hartanah tempatan, Mohd Anuar, kawasan Putra Heights kini berdepan ‘hard selling’ ekoran insiden tersebut.

Berkongsi kepada Majoriti, beliau menyatakan bahawa nilai rumah-rumah di kawasan kejadian jatuh merudum malah khidmat penyewaan juga terhenti sepenuhnya.

"Saya boleh kata nilai pasaran semasa sedikit turun, kerana orang memang dah takut. Sedangkan pemilik yang tak terlibat pun dah keluar rumah. Ada yang balik kampung terus,” katanya.

Menurut Anuar lagi, walaupun hartanah di kawasan itu sebelum ini bernilai antara RM700,000 hingga RM800,000, kini tiada pembeli yang berani membuat tawaran malah bukan sahaja pembelian, penyewa juga menjauhkan diri.

"Kalau dulu rumah atas RM500,000 memang laku keras, tapi sekarang nak bagi sewa pun orang tak nak. Pemilik pun ramai yang hubungi kami nak jual, tapi kami nasihatkan ‘tunggu dulu’. Selesaikan urusan insurans dulu sebelum ambil langkah seterusnya,” jelasnya.

Anuar turut membandingkan situasi ini dengan kejadian banjir besar di Seri Muda beberapa tahun lalu, yang turut menyaksikan kejatuhan nilai hartanah sehingga mengambil masa hampir lima tahun untuk pulih.

“Yang ini lebih trauma. Letupan gas bukan benda kecil. Kereta boleh cair, orang pun takut nak tidur malam. Kalau setiap kali raya orang nak main bunga api, lagilah trauma. Saya risau kawasan itu jadi macam ‘ghost town’,” tambah beliau.

Anuar turut menasihati bahawa pemilik rumah tidak sepatutnya tergesa-gesa menjual dengan harga rendah kerana situasi itu mungkin mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk pulih.

"Kalau yang beli tunai, tiada hutang boleh simpan dulu. Tapi kalau ada komitmen bulanan, memang berat. Tapi saya tetap tak galakkan jual rugi. Tunggu dan lihat dulu perkembangan semasa,” katanya.

Kejadian letupan yang jarang berlaku itu turut menimbulkan persoalan tentang klasifikasi bencana dan perlindungan insurans kepada pemilik rumah yang terkesan.

Buat masa ini, ramai pemilik masih menunggu kepastian berhubung tuntutan insurans, termasuk sama ada kerugian mereka akan dikira sebagai kebakaran atau kemusnahan akibat bencana luar jangka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram