[VIDEO] 'Umur 70-an tak patut memandu,' kejadian pemandu van sekolah 'pening' sampai lawan arus di Butterworth buat ibu bapa bimbang


  • Massa
  • Rabu, 09 Apr 2025

Tangkap layar video memaparkan sebuah van sekolah yang dipandu secara lawan arus di Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa.

KEJADIAN melibatkan seorang pemandu van sekolah yang memandu secara melawan arus di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Pulau Pinang pada Selasa meraih perhatian ramai terutama dalam kalangan ibu bapa.

Lebih membimbangkan apabila pemandu van tersebut merupakan warga emas berusia 70-an yang mendakwa mempunyai masalah kesihatan. 

Ada sesetengahnya yang berpandangan bahawa usia berkenaan tidak lagi sesuai untuk memandu apatah lagi membawa kanak-kanak sekolah. 

BACA LAGI: [VIDEO] Bahaya! Banyaknya lubang disyaki akibat tanah mendap di Jalan Lebuh Utama Sri Gombak

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Jangan terus keluar kalau elektrik terputus’, pemilik rumah di Puncak Alam dedah trik perompak seperti scammer

"Umur 70-an dah tak patut bawak van lagi, bahaya," komen Lina Ismail.

Rata-ratanya turut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemandu van terbabit. 

"Naya nyawa anak-anak orang. Boleh tarik semula lesen dia," kata Mohd Faisal Issuan.

"Harap JPJ (jabatan Pengangkutan Jalan) batalkan lesen memandu dia," tambah Ali Riza

Dalam kejadian pukul 1 petang Selasa, pemandu lelaki itu mendakwa berasa pening  ketika tiba di persimpangan Jalan Bagan Lalang memasuki BORR. 

Dia kemudian tanpa sedar meneruskan perjalanan secara melawan arus di BORR sehinggalah ditahan polis di Kilometer (KM 14.2) berhampiran Kampung Teluk, Sungai Dua. 

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, pemandu van kemudian ditangkap dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Trafik untuk tindakan lanjut. 

"Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan akibat perbuatan pemandu van ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Pihaknya juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU di talian 04-5757946 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Difahamkan, tiada pelajar sekolah serta penumpang dalam van berkenaan ketika kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram