
ISU rumah tangga sering menjadi perbualan di media sosial terutamanya apabila seseorang meluahkan kesulitan yang mereka hadapi dalam perkahwinan.
Baru-baru ini, tular hantaran di media sosial berkait seorang lelaki yang meluahkan rasa kecewa mengenai perkahwinannya yang semakin mencabar.
Meskipun sudah menyediakan segala keperluan seperti rumah, kereta, nafkah dan hadiah seperti gelang emas untuk isterinya, si suami tetap berdepan dengan masalah besar dalam hubungan mereka.
BACA LAGI: Ibu berpantang sewaktu musim raya, nikmati juadah lebaran tanpa memudaratkan tubuh
BACA LAGI: Tangas moden 'rahsia' sihat Tyra semasa hamil, tempoh berpantang, mudah disediakan 15 minit saja!
Hantaran tular di media sosial.
Isterinya juga sering kali menunjukkan sikap panas baran, marah tanpa sebab yang jelas dan gagal menerima teguran dengan baik walaupun dia cuba berbincang secara tenang.
Menurut lelaki tersebut, beliau sudah banyak kali bersabar, namun keadaannya semakin teruk apabila isterinya terus bersikap keras kepala.
"Saya cuba berbincang dengan baik, tetapi dia tetap marah. Ada kalanya saya rasa bimbang jika saya hilang sabar dan bertindak di luar kawalan," luahnya di laman Facebook.
Muhammad Amirul Akmal merupakan Peguam Syarie Negeri Selangor.
Mengulas isu itu, Peguam Syarie Negeri Selangor dan Panel Hakam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Muhammad Amirul Akmal Ismail menjelaskan beberapa langkah yang boleh diambil oleh pasangan yang menghadapi situasi serupa.
Amirul berkata, sikap keras seseorang wanita seperti itu berkemungkinan berpunca daripada didikan keluarga yang terlalu memanjakan sejak kecil.
"Ini perkara yang biasa berlaku. Jika seorang anak dibesarkan dalam keluarga yang memenuhi segala keinginannya tanpa batasan, ia boleh mempengaruhi cara dia berfikir dan bertindak dalam perkahwinan," katanya kepada Majoriti.
Nasihat secara baik
Beliau menyarankan beberapa langkah yang boleh diambil oleh suami untuk menyelesaikan masalah itu.
"Langkah pertama perlu dilakukan oleh suami adalah dengan memberikan nasihat kepada isteri secara lembut dan berhemah.
"Komunikasi adalah kunci dalam rumah tangga," kata Muhammad Amirul.
Namun, Amirul berkata, langkah seterusnya perlu dipertimbangkan jika pendekatan itu tidak membawa hasil.
Libatkan keluarga sebagai orang tengah
Amirul berkata, suami boleh melibatkan keluarga terutamanya keluarga pihak perempuan sebagai orang tengah untuk menasihati pasangan sekiranya masalah masih berterusan.
Amirul menegaskan bahawa penglibatan keluarga dalam perkara itu sangat penting.
"Kadang-kadang, pasangan lebih mudah menerima nasihat daripada orang yang mereka hormati, seperti ibu bapa mereka sendiri," katanya.
Khidmat kaunseling
Amirul berkata, sekiranya masalah tersebut masih berlanjutan, langkah seterusnya adalah dengan mendapatkan khidmat kaunseling daripada pejabat agama Islam daerah.
"Di pejabat agama Islam daerah berdekatan, pasangan boleh mendapatkan nasihat daripada ustaz atau ustazah yang berpengalaman dalam menangani masalah rumah tangga.
"Ini adalah satu cara yang dapat membantu mereka memahami dan mengatasi masalah yang dihadapi. Biasanya dalam satu jam," tambahnya.
Tindakan undang-undang
Namun, jika selepas melalui langkah-langkah tersebut masalah masih berterusan, pasangan mungkin perlu mempertimbangkan langkah terakhir iaitu perceraian.
"Sekiranya tiada lagi persefahaman dan tiada perubahan, perceraian mungkin menjadi jalan terakhir. Tetapi, sebelum melangkah ke situ, suami boleh memfailkan tuntutan nusyuz dengan harapan mahu isterinya kembali taat kepadanya.
"Jadi, jika isteri berubah sikap selepas tuntutan nusyuz dibuat, perkahwinan masih boleh diselamatkan," jelas Amirul.
Amirul turut menyarankan beberapa perkara untuk dibuat setiap pasangan yang sedang menempuh ujian rumah tangga.
"Suami kena jadi seorang yang penyabar.
"Sama-sama (suami isteri) kena saling bertolak ansur, kena ada toleransi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram