[VIDEO] ‘Jangan terus keluar kalau elektrik terputus’, pemilik rumah di Puncak Alam dedah trik perompak seperti scammer


  • Tular
  • Isnin, 07 Apr 2025

Tangkap layar CCTV memaparkan kejadian cubaan merompak di sebuah rumah di Puncak Alam, Selangor pada Sabtu minggu lalu.

SATU cubaan merompak bersenjata dilaporkan berlaku di sebuah kediaman di Puncak Alam 2, Selangor pada Sabtu minggu lalu. 

Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) dikongsikan pengguna akaun Facebook, Khairul Ezuwan pada Isnin, cubaan itu bagaimanapun gagal disebabkan kepekaan pemilik rumah terhadap keadaan sekeliling.

Pengguna tersebut juga mendedahkan modus operandi baharu yang digunakan individu terbabit ketika cuba memecah masuk ke dalam rumah. 

BACA LAGI: Siasatan insiden 'Abang Belon' di fasa akhir, DBKL enggan ganggu siasatan polis

BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali

Menurutnya, dua individu mencurigakan dalam video tersebut memotong bekalan elektrik rumah mangsa sebagai taktik untuk memancing penghuni keluar. 

"Penyamun ini macam scammer juga, mereka sentiasa kreatif menjalankan modus operandi.

"Memang kalau waktu malam elektrik mati, biasanya kita akan keluar rumah untuk meninjau rumah jiran-jiran yang lain untuk pastikan sama ada hanya rumah kita sahaja yang terputus elektrik atau semua jiran pun kena sekali.

"Modus operandi penyamun ini, mereka masuk dari pagar, kemudian mereka cabut fius utama pada kotak meter elektrik.

"Bila penghuni buka pintu untuk meninjau keluar, penyamun ini akan menghunus parang dan masuk ke dalam rumah," dedahnya.

Susulan itu, dia menyarankan agar penguni tidak keluar dari rumah secara melulu, sebaliknya meninjau dahulu melalui pintu cermin atau tingkap dan pastikan keadaan benar-benar selamat. 

Katanya, rompakan itu gagal diteruskan selepas penghuni rumah terbabit bertindak sedemikian dan melihat kelibat penyamun yang sedang menunggu di hadapan pintu dengan parangnya.

Berdasarkan perkongsian itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram