Kereta kena langgar kenderaan tiada cukai jalan dan insurans, wanita dilema cara nak tuntut ganti rugi


  • Bizz
  • Selasa, 08 Apr 2025

Keadaan kerosakan (gambar kiri) kereta milik wanita tersebut yang dilanggar lari oleh sebuah kenderaan lain ketika awal pagi ketika diletakkan di hadapan rumahnya.

SEORANG wanita mengalami kerugian selepas kereta miliknya yang diparkir di hadapan kediaman mengalami kerosakan apabila dilanggar oleh sebuah kenderaan yang dipandu secara cuai di dalam kawasan perumahannya pada waktu awal pagi.

Lebih menyulitkan keadaan, kereta yang melanggar kenderaannya itu juga tidak memiliki cukai jalan dan insurans, sekali gus menyukarkannya untuk menuntut ganti rugi.

Dalam kejadian tersebut, kenderaan jenis Perodua Axia berwarna hitam milik wanita berkenaan mengalami remuk di bahagina pintu belakang kanan.

BACA LAGI: Siasatan insiden 'Abang Belon' di fasa akhir, DBKL enggan ganggu siasatan polis

BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali

Tidak cukup dengan itu, pemiliki kenderaan yang bertanggungjawab juga dipercayai tidak mahu memberikan ganti rugi dengan memberi alasan tidak memiliki wang bagi membayar kerosakan yang berlaku.

"Kereta park depan rumah kena langgar lari. Dah jumpa orangnya tapi roadtax dia insurance dia mati. Suruh bayar dia kata tak ada duit

"Macam mana nak tuntut ganti rugi eh?" soal wanita berkenaan menerusi hantaran di laman X menggunakan akaun _friedciken.

Menurut wanita terbabit, perumahannya adalah kawasan perumaha berpagar dan tindakan memarkir di jalan seberang rumah bukan menjadi satu masalah.

Tambahan pula, jalan di kawasan kediamannya juga agak luas.

"Lori dua biji pun boleh lalu. Katanya adik dia bawak kereta, nak ambik phone (telefon pintar) jatuh hingga terbabas.

"(Kejadian) Pukul 5 pagi waktu hujung minggu...Rasanya," kongsinya lagi yang turut memaklumkan sudah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

"Tapi itulah, tetap kita yang bersusah payah. Ulang alik balai polis, usaha cari rakaman (video) dari jiran. Kereta tidak ada tiga minggu.

"Nak tuntut ganti rugi pun makan masa," ujarnya.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata warganet turut bersimpati terhadap nasib menimpa wanita berkenaan.

Malah, mereka berkongsi pengalaman saya ketika menghadapi kes serupa ketika proses menuntut ganti rugi.

"Kalau kes macam ini memang leceh sangat sebab hujung-hujung nanti kalau buat laporan, mereka akan kena sama sahaja," ujar persadaketalar.

"Pernah mengalami situasi yang sama. Dilanggar oleh seseorang yang memandu kereta dengan roadtax dan insurans sudah tamat. Kereta pakcik rosak teruk dan tidak boleh digunakan.

"Terpaksa baiki menggunakan insurans sendiri kerana tiada kereta lain untuk pergi kerja. Tuntutan di tribunal pula lambat," kongsi jllmisai.

Mangsa boleh membuat prosedur tuntutan kecil terhadap individu bertanggungjawab sekiranya jumlah kerugian adalah di bawah RM5,000. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, seorang pengguna, HilimAdi berkata, wanita berkenaan boleh cuba untuk membuat prosedur tuntutan kecil terhadap individu bertanggungjawab sekiranya jumlah kerugian adalah di bawah RM5,000.

"Buat laporan polis dahulu. Kemudian, dapatkan anggaran kos pembaikan dari bengkel berdaftar (lebih baik jika dari Perodua sendiri).

"Selepas itu, failkan kes di Mahkamah Kecil jika jumlah tuntutan kurang daripada RM5,000. Mahkamah Kecil tidak memerlukan peguam," tulisnya.

Sekiranya individu bertanggungjawab masih tidak membayar kos selepas mahkamah membuat keputusan, pengadu boleh mengambil borang 198 daripada pendaftar Mahkamah Subordinat bagi menaikkan kes tersebut.

"Dengan cara ini, anda boleh minta bailif mahkamah menguruskan tuntutan ganti rugi (mereka juga akan menyita barang jika pihak berkenaan enggan membayar)," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram