
PENDUDUK di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan dikejutkan dengan penemuan tengkorak dan tulang dipercayai rangka manusia ditemukan di kawasan sawah padi kampung tersebut pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, maklumat mengenai penemuan itu diterima petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada kira-kira pukul 3 petang.
BACA LAGI: Siasatan insiden 'Abang Belon' di fasa akhir, DBKL enggan ganggu siasatan polis
BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali
"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Selising dan IPD Pasir Puteh telah ke lokasi kejadian dan menemukan tengkorak serta tulang dipercayai rangka manusia.
"Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, dalam kejadian tersebut, pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan turut hadir menjalankan siasatan dan melaksanakan pencarian saki-baki rangka bagi melengkapkan siasatan.
"Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Selising Sarjan Mejar Suhaimi Abdullah di talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh di 09-7867222," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram