
TUJUH pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang yang didapati terlibat dalam kes buli yang tular di media sosial baru-baru ini disyor ditamatkan pengajian daripada institut pendidikan tersebut.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab.
BACA LAGI: Siasatan insiden 'Abang Belon' di fasa akhir, DBKL enggan ganggu siasatan polis
BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali
"7 pelajar didapati terlibat, 2 terlibat buli fizikal, 5 subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM," katanya menerusi satu satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, tular sebuah rakaman kejadian buli dipercayai berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang baru-baru ini.
Video berdurasi satu minit 31 saat tersebut memaparkan seorang pelajar lelaki dalam keadaan tertiarap di atas katil, dipercayai menjadi mangsa sekumpulan pelajar lain yang bertindak kasar dengan menghempap kepala serta badannya.
Lebih mengejutkan, mangsa turut disebat menggunakan tali pinggang pada punggung tanpa belas kasihan.
Sementara itu, di ruangan komen hantaran sama, Asyraf berkata, beliau tidak bersetuju terhadap kemungkinan untuk memberikan pelajar terbabit peluang kedua atas kesalahan dilakukan.
Ujarnya, sejak dari awal diberikan amanah selaku Pengerusi MARA, beliau juga sudah berulang kali menegaskan mengenai prinsip yang dipegangnya berhubung sebarang insiden buli di bawah institusi berkenaan.
"Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.
"Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.
"Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Asyraf berkata, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah MARA pada Isnin untuk memastikan budaya buli dapat dikekang sepenuhnya.
Antaranya termasuk meminta pihak pengurusan untuk memperhalusi cadangan untuk menempatkan Warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua MRSM seluruh Malaysia.
"Warden ini boleh dilantik melalui proses temu ramah dan penilaian holistik terhadap calon dalam kalangan pesara tentera mahupun polis yang punya keupayaan baik menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah serta keperibadian pelajar di asrama," katanya.
Polis pada Selasa memaklumkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes buli tersebut yang tular dalam satu video tersebar di media sosial sejak Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, siasatan dibuat berdasarkan klip video terbabit dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis telah mengambil tindakan dengan mengenal pasti institusi terbabit dan sedang mengesan individu dipercayai terlibat untuk merekodkan keterangan mereka.
Beliau berkata, video itu telah ditonton lebih 700,000 pengguna, dengan 1000 komen dan dikongsi 445 pengguna di Facebook.
Katanya, siasatan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.
Beliau berkata, kes itu akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya sebaik siasatan selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram