
POLIS membuka kertas siasatan berhubung kes buli yang tular dalam satu video tersebar di media sosial sejak Isnin melibatkan sebuah sekolah asrama di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, siasatan dibuat berdasarkan klip video terbabit dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
BACA LAGI: Siasatan insiden 'Abang Belon' di fasa akhir, DBKL enggan ganggu siasatan polis
BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali
“Pada 7 April 2025, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan mengesan klip video berdurasi 1 minit 31 saat di platform media sosial yang dimuat naik Utara Kini.
“Dalam klip video itu, dipercayai di sebuah sebuah dorm, beberapa individu dipercayai pelajar dilihat melakukan perbuatan membuli terhadap pelajar lain yang berada di atas katil,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis telah mengambil tindakan dengan mengenal pasti institusi terbabit dan sedang mengesan individu dipercayai terlibat untuk merekodkan keterangan mereka.
Beliau berkata, video itu telah ditonton lebih 700,000 pengguna, dengan 1000 komen dan dikongsi 445 pengguna di Facebook.
Katanya, siasatan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.
Beliau berkata, kes itu akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya sebaik siasatan selesai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu,” tambahnya.
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Mereka yang mempunyai maklumat turut digalakkan tampil membantu polis dalam siasatan di talian hotline polis Seberang Perai Selatan 04 - 5858222 atau balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular sebuah rakaman kejadian buli dipercayai berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang baru-baru ini.
Video berdurasi satu minit 31 saat tersebut memaparkan seorang pelajar lelaki dalam keadaan tertiarap di atas katil, dipercayai menjadi mangsa sekumpulan pelajar lain yang bertindak kasar dengan menghempap kepala serta badannya.
Lebih mengejutkan, mangsa turut disebat menggunakan tali pinggang pada punggung tanpa belas kasihan.
Dalam perkembangan terkini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pelajar disyaki pelaku buli di asrama MRSM di Pulau Pinang seperti tular menerusi video tersebar di media sosial sudah digantung persekolahan masing-masing.
Beliau berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar terbabit tidak mengganggu proses siasatan, selain memberikan mesej jelas pihaknya tiada kompromi dalam isu buli.
Ujarnya, hasil siasatan laporan penuh mengenai insiden tersebut yang dilakukan pengurusan MARA dan Bahagian Pendidikan Menengah juga sudah diterima.
"Dalam proses siasatan ini, semua pelajar terbabit mesti digantung terlebih dahulu agar tidak mengganggu proses siasatan dan kedua memberikan mesej yang jelas bahawa tiada kompromi dalam isu ini.
"Kalau didapati perkara itu (buli) memang berlaku dan pelaku bersalah kita di peringkat MARA dan MRSM akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan sesekali berkompromi," katanya dalam video pendek yang dimuatnaik di Facebook, pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram