
KEMENANGAN selesa 2-0 ke atas Nepal dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menyuntik semangat buat Harimau Malaya untuk terus beraksi cemerlang bagi aksi akan datang.
Ini kerana pertembungan itu tidak hanya menyajikan keputusan cemerlang, malah ia turut mempamerkan persembahan positif di bawah kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Jadi, sekiranya prestasi cemerlang tersebut dapat diteruskan, tidak mustahil skuad kebangsaan dapat menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas, sekali gus layak ke kejohanan peringkat benua itu.
BACA LAGI: Bergson perlu setahun penuhi syarat naturalisasi, hanya wakili HM lawan Vietnam pada 2026
Kemenangan ke atas Nepal menyuntik aura berbeza buat skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, tugasan besar masih menanti anak-anak buah Cklamovski kerana mereka turut diundi di samping musuh tradisi negara di rantau Asia Tenggara, Vietnam yang turut mencatatkan kemenangan dalam aksi pertama mereka.
Berdasarkan rekod terdahulu, skuad kebangsaan kerap mengalami kekalahan setiap kali berdepan pasukan di tangga ke-114, terutamanya ketika negara itu berada di bawah bimbingan Park Hang-seo.
Ujian besar terus diberikan Vietnam kerana baru-baru ini, laporan mengatakan mereka berminat untuk memberi status naturalisasi kepada dua pemain yang beraksi dalam liga tempatan mereka.
Hal itu dikongsikan di laman Facebook Asean Football yang menyatakan dua pemain tersebut ialah pemain tengah menyerang Thep Xanh Nam Dinh, Hendrio Araujo serta Rimario Gordon yang kini beraksi buat Dong A Thanh Hoa.
Kedua-dua pemain itu sudah menepati syarat naturalisasi, iaitu menetap dalam sesebuah negara untuk lima tahun selain tidak pernah beraksi buat negara sendiri.
Sekiranya Vietnam berjaya menerima khidmat mereka berdua, ia akan menjadi cabaran buat Harimau Malaya yang perlu menamatkan saingan di tangga teratas.
"Mereka adalah lawan sebenar Malaysia. Menang dengan Vietnam dalam kedua-dua perlawanan akan memastikan kelayakan tetapi jika tidak, lupakan sahaja Piala Asia. Laos hanya pengganggu sahaja," kata Muhammad Yusrizal Abdulrahman.
"Risau, Vietnam yang kini pemain bertubuh kecil pun boleh tundukkan kita, apatah lagi jika sudah dapat pemain luar negara," kata Fabian Fabric.
"Vietnam namapknya semakin aktif untuk mengambil pemain naturalisasi. Perlawanan antara Malaysia dengan Vietnam akan berlangsung pada 10 Jun nanti," kata Ib Zi.
Pasukan yang dikenali dengan skuad The Golden Star Warriors berkenaan merupakan antara negara yang mempercayai anak jati kerana program naturalisasi mereka tidak serancak pasukan lain sekitar Asia Tenggara.
Sekiranya hendak dibandingkan dengan Harimau Malaya, terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan itu dengan skuad kebangsaan memiliki lambakan pemain warisan dan naturalisasi.
Malah, berdasarkan perkongsian Tunku Ismail Sultan Ibrahim, seramai tujuh lagi pemain warisan akan menyertai Harimau Malaya selepas Hector Hevel dan Gabriel Palmero menyertai kem negara baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram