'Sampai ganggu bayi tidur', penduduk gesa pihak masjid di Taman Sri Pulai turunkan bunyi 'speaker' mengaji sebelum subuh


  • Massa
  • Selasa, 18 Mac 2025

Pihak pengurusan masjid di Taman Sri Pulai, Skudai digesa untuk mengambil tindakan terhadap aduah terbabit. — Gambar hiasan/Facebook

BEBERAPA penduduk sekitar masjid di Taman Sri Pulai, Skudai, Johor menyuarakan kebimbangan mereka berhubung bunyi pembesar suara yang digunakan bagi sesi bacaan al-Quran sebelum waktu Subuh. 

Aduan yang disampaikan menerusi akaun Facebook komuniti penduduk itu adalah bertujuan agar pihak pengurusan masjid dapat mempertimbangkan untuk menurunkan tahap bunyi pembesar suara tersebut.

Menurut pengadu, cadangan itu disuarakan bagi menjaga keharmonian penduduk serta tidak mengganggu ketenteraman khususnya kepada keluarga yang mempunyai anak kecil atau bayi. 

BACA LAGI: [VIDEO] Sempat muat naik status, staf MAS hilang ketika memancing di bawah jambatan Klang

BACA LAGI: Lelaki pukul pelajar sampai berdarah dilucut jawatan sebagai mutawif

Pengadu itu juga mendakwa bahawa alunan ayat-ayat al-Quran diperdengarkan pada awal pagi dalam keadaan sunyi menyebabkan bunyi tersebut lebih kuat berbanding waktu siang yang dipenuhi dengan pelbagai gangguan latar seperti kenderaan.

"Niat untuk memperdengarkan bacaan al-Quran kepada masyarakat Islam adalah bagus, termasuk juga untuk menyebarkannya.

"Tetapi bunyi yang terlalu tinggi sehingga menganggu anak kecil atau bayi sedang tidur juga memberikan kesusahan kepada ramai keluarga.

"Mohon ada belas ihsan dengan merendahkan bunyi pembesar suara pada waktu sebelum Subuh supaya tidak memberikan gangguan kepada penduduk," tulis pengadu tanpa mendedahkan indentitinya. 

Dakwanya, beberapa aduan juga sudah dikemukakan, namun masih tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pengurusan masjid setakat ini. 

Melihat isu sensitif itu disuarakan, ada juga yang menyarankan untuk menjaga pertuturan dan penulisan sewaktu bulan Ramadan ini. 

Meskipun ia perkara yang membimbangkan, cara berkomunikasi perlulah dijaga dan sentiasa hormat-menghormati dalam percakapan. 

Mengulas lanjut, pengguna akaun Facebook Muhamad Aries memohon pihak masjid mengambil cakna tentang isu tersebut bagi mengelakkan sengketa antara umat Muslim dan sebaliknya. 

"Bukan main meriah di komen macam lupa sedang berpuasa.

"Memang tidak dinafikan tiada nas di dalam al-Quran ataupun hadis yang menyarankan suatu kaedah selain azan untuk mengajak manusia kepada masjid.

"Malah tak boleh menyakiti jiran-jiran baik yang Muslim atau bukan Muslim dengan bacaan al-Quran yang kuat.

"Mohon pihak pengurusan masjid ambil cakna aduan orang ni, mohon empati," tulisnya. 

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada kenyataan dikeluarkan pihak pengurusan masjid berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram