
SEORANG lelaki yang ditahan polis selepas menumbuk seorang pelajar sekolah menengah hingga mengalami retak tulang hidung di Saujana Impian, Kajang, Selangor pada Jumaat minggu lalu dilucutkan jawatannya sebagai mutawif.
Agensi pengembaraan dan pelancongan, Atlis Holidays Sdn Bhd memaklumkan perkara tersebut selepas tular pelbagai dakwaan mengatakan individu terbabit merupakan penasihat syariah syarikat itu.
Pihaknya juga menegaskan bahawa tidak pernah melantik lelaki berkenaan dengan jawatan sedemikian.
"Untuk makluman, pelaku tersebut hanya bertugas sebagai Mutawif secara sambila dengan syarikat kami.
"Tugas beliau sebagai Mutawif di berhentikan serta merta.
"Pihak kami telah membuat laporan polis untuk melindungi perniagaan kami dan tindakan pelaku tersebut yang memuat naik butiran profil Facebook yang mengelirukan masyarakat umum," katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebooknya pada Isnin.
Pihaknya juga membuat hebahan secara rasmi untuk menjelaskan bahawa pihak syarikat tidak mempunyai sebarang kaitan, tanggungjawab atau liabiliti terhadap tindakan peribadi pelaku tersebut.
Syarikat itu juga berharap penerangan yang diberikan itu dapat menjelaskan situasi yang sedang berlaku.
"Akhlak pelaku tidak mewakili keseluruhan syarikat.
"ami berharap isu yang sedang berlaku antara pelaku dan mangsa dapat diselesaikan dengan seadilnya oleh pihak berkuasa," jelasnya.
Sebelum ini, suspek berusia 39 tahun itu ditahan selepas videonya tular di laman media sosial.
Dalam kejadian itu, suspek keluar dari kenderaannya sebelum bertindak ganas dengan menumbuk pelajar berusi 17 tahun terbabit bertubi-tubi.
Akibat serangan itu, remaja berkenaan mengalami kecederaan serius di bahagian hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram