'Elok letak AES', pengguna jalan mahu penguat kuasa kembali pantau 'tembak' kenderaan lebih had laju di MRR2 elak kemalangan maut


Pemasangan kamera AES (kanan) perlu dilakukan di Lebuhraya MRR2.

ORANG ramai digemparkan dengan berita kemalangan langgar lari melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dengan tiga penunggang motosikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Tindakan langgar itu menyebabkan kesemua mangsa mengalami kecederaan. Lebih parah, ia membabitkan tiga mangsa di lokasi kejadian berbeza pada malam Ahad.

Tiga lokasi terlibat ialah dari arah Taman Midah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Taman Connaught dekat Cheras, Kuala Lumpur dan Bukit Dukung, Hulu Langat, Selangor.

Menerusi rakaman yang tular, dapat dilihat Myvi tersebut bergerak dalam kelajuan tinggi walaupun sepatutnya di kawasan tersebut tidak dibenarkan untuk memecut.

BACA LAGI: [VIDEO] Rempuh 3 motosikal di 3 lokasi berbeza, ayah rayu bantuan orang ramai kesan pemandu Myvi langgar lari anak

BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh satu Klang gudang kurier dirompak sekumpulan lelaki berparang

Ia menimbulkan kebimbangan orang awam mengenai keselamatan di MRR2. Oleh itu, timbul cadangan supaya pemantauan lebih ketat dilakukan pihak berkuasa diadakan di situ.

Menurut pengguna jalan raya di MRR2, sebelum ini sering terdapat pegawai polis bertugas yang akan melakukan perangkap had laju. Namun kini, ia tidak lagi dilakukan.

Orang ramai meminta agar pemantauan serupa akan dilakukan, malah ada yang mahukan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dikembalikan semula di MRR2.

"MRR2 ni turun bukit 80km/j saja, kalau bawa 140 km/j memang habis. AES patut diletakkan di sini, berapa banyak dah kemalangan maut berlaku di sini," ujar Rizalman Misnan.

"Dulu dekat susur sebelum selekoh ada polis akan 'tembak' perangkap laju, lepas tu ada sekatan jalan raya. Sekarang ni senyap dah, tu yang ramai makin laju," komen Izzamir Ibrahim.

Terdahulu, perkongsian oleh Azlee Gomen di Facebooknya mengatakan yang anaknya salah seorang daripada tiga mangsa yang dilanggar lari oleh Myvi tersebut di MRR2.

"Mohon bantuan sahabat-sahabat untuk panjangkan video ini, kes langgar lari dalam satu masa tiga kejadian.

"Saya mohon kepada warga Facebook untuk kongsi sebanyak mungkin sehingga pelaku/ pemilik kenderaan ini diambil tindakan sewajarnya," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram