Negara jiran sudah, tarikh umum senarai akhir skuad Harimau Malaya terus timbulkan tanda tanya


  • Podium
  • Selasa, 11 Mac 2025

Barisan pemain yang akan beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 masih belum diumumkan. — Facebook/FAM

KEMPEN Kelayakan Piala Asia 2027 menjadi fokus utama Harimau Malaya ketika ini dalam usaha menebus kekecewaan gagal meloloskan diri ke peringkat seterusnya untuk ke Piala Dunia.

Kehangatan sudah mula dirasai apabila skuad kebangsaan mula menagih kepakaran dari luar negara dengan melantik Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu.

Meskipun masih belum melakukan sebarang tugas, pengendali kelahiran Australia itu dijangka mampu membawa perubahan positif berdasarkan rekod lampaunya di sekitar Asia.

BACA LAGI: 'Bergson jauh lebih baik', ramai kurang setuju bintang The Cats diberi status naturalisasi

BACA LAGI: Kempen kelayakan dianggap gagal, pengurus skuad B-17 negara letak jawatan

Impak dibawa Cklamovski (kiri) amat dinanti-nantikan penyokong. Facebook/FAM

idak cukup dengan itu, keterujaan membuak-buak juga dipamerkan penyokong kerana laporan mengatakan Harimau Malaya akan dibarisi pemain warisan dan naturalisasi baharu.

Kehadiran mereka diharapkan mampu menghadiahkan hasil positif kerana pasukan negara memerlukan nafas berbeza selepas beberapa bulan mengecewakan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, berbaki kira-kira tiga minggu sebelum aksi menentang Nepal, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengeluarkan senarai pemain yang akan beraksi dalam kempen kelayakan itu.

Hal itu menimbulkan persoalan kerana beberapa negara di rantau Asia Tenggara sudah menyenaraikan mereka yang dipanggil menjelang aksi kompetitif masing-masing.

Skuad kebangsaan dikhabarkan bakal menerima pemain warisan baharu dalam masa terdekat. Facebook/FAM

Ini termasuk seteru Nusantara, Indonesia yang sudah membariskan beberapa pemain baharu seperti penyerang Oxford United, Ole Romeny yang akan beraksi di bawah pengendali, Patrick Kluivert.

Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap FAM yang masih belum mengeluarkan senarai dengan kelewatan tersebut dikhuatiri akan mengganggu persiapan Cklamovski.

"Negara Asean lain dah memanggil pemain mereka, Harimau Malaya bila?" kata Wan Abut.

"Jangan kata pemain baharu, yang lama pun masih diam. FAM ni kenapa masih lambat buat kerja? Perlawanan tinggal berapa minggu sahaja lagi," kata Malik Naim.

Skuad kebangsaan Indonesia menampilkan lambakan pemain warisan yang kini beraksi di luar negara. Facebook/Seasia Goal

"Kalau inilah gayanya, memang tak ke mana nampaknya Harimau Malaya. Dulu ramai suruh tunggu naturalisasi baharu, sehingga sekarang masih senyap ya," kata Zarif Pais.

Keputusan memanggil pemain ke dalam skuad kebangsaan berada di tangan Cklamovski serta barisan kejurulatihannya yang sudah beberapa kali hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Liga Super.

Penilaian dilakukan itu pasti akan membuahkan hasil untuk sekurang-kurangnya membantu pasukan negara memulakan langkah kanan dengan kemenangan ke atas Nepal amat diharapkan.

Harimau Malaya akan berdepan negara di tangga ke-175 itu pada 25 Mac dengan venue perlawanan masih belum ditentukan, namun ramai beranggapan Stadium Sultan Ibrahim, Johor akan dipilih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram