
SEBUAH kapal layar dari Rusia yang terkandas di Kampung Senau, Kuala Oya dekat Mukah, Sarawak sejak Disember tahun lalu mencetuskan perbincangan dalam kalangan penduduk tempatan dan pihak berkepentingan.
Manakan tidak, sejak kehadiran kapal layar Lodya Pilgrim milik warganegara Rusia, Sergei Sinelnik terkandas di kawasan itu, lokasi berkenaan menjadi salah satu tempat tarikan pelancongan yang baharu bagi penduduk tempatan.
Malah, ada pelancong dari dalam dan luar negara turut berkunjung ke Kampung Senau bagi melihat sendiri kapal layar yang diperbuat daripada kayu itu.
Kedatangan pengunjung dari luar itu sekali gus menjana pendapatan komuniti setempat.
Melihat kepada potensi itu, bekas Senator Dewan Negara Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mencadangkan agar disumbangkan kepada Kerajaan Sarawak sebagai tarikan pelancongan baharu.
BACA LAGI: Bangkai paus sepanjang 10 meter ditemukan terdampar di Pantai Sungai Miang
Cadangan itu dikemukakan pada Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib baru-baru ini.
Cadangan itu juga disambut baik oleh masyarakat setempat dan warga maya yang melihat potensi kapal layar berkenaan dalam merancakkan sektor pelancongan di kawasan tersebut.
Kapal layar Lodya Pilgrim terkandas di Kampung Senau, Kuala Oya dekat Mukah sejak 20 Disember lalu. pic.twitter.com/jVYOJRP5VU
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) March 10, 2025
Menurut seorang pengguna Facebook, Mohd Fairuz, kewujudan kapal layar itu menarik perhatian ramai dan boleh dijadikan satu lagi mercu tanda pelancongan di Sarawak.
"Jika kerajaan negeri mengambil alih dan menjadikannya sebagai produk pelancongan, ia bukan sahaja boleh menarik lebih ramai pelawat ke Oya, malah berpotensi menjana pendapatan untuk komuniti setempat," katanya.
Pendapat Mohd Fairuz itu turut dipersetujui seorang lagi warga maya, Mohd Fazley.
"Daerah Oya akan terkenal kalau kapal ini milik Sarawak sebagai bahan tarikan pelancong yang datang," tulisnya.
Untuk rekod, kapal layar Lodya Pilgrim terkandas di kawasan tersebut sejak 20 Disember lalu.
Berdasarkan keterangan kapten Sinelnik Sergei, alat navigasi Global Positioning System (GPS) kapal mereka rosak ketika melalui perairan Miri dan pada masa yang sama berhadapan keadaan laut bergelora. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram