
BANGKAI seekor ikan paus ditemukan sekumpulan nelayan terdampar berhampiran Pantai Sungai Miang dekat Pekan, Pahang pada Ahad.
Mamalia laut itu ditemui oleh nelayan yang pada mulanya menyangka ia hanyalah sebatang kayu balak pada sekitar pukul 4 petang.
Melalui video tular yang dimuat naik di laman Facebook Iqbal Adzrin, mamalia laut sepanjang 10-meter itu ditemui dalam keadaan sudah mereput dan dianggarkan telah mati selama beberapa hari.
BACA LAGI: [VIDEO] Tuhan bayar 'cash', lelaki disambar api ketika cuba bakar traktor di tepi jalan di Turkiye
BACA LAGI: Remaja 19 tahun disyaki cabul budak perempuan ketika solat subuh di masjid Batang Kali ditahan polis
Sementara itu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berkata, kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang (RA), Terengganu turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan susulan kejadian itu.
"Satu pasukan daripada Jabatan Perikanan Pahang, bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) di Rantau Abang (RA), Terengganu telah dikerahkan ke lokasi.
"Bangkai paus tersebut telah mereput dalam tempoh yang lama, menyukarkan proses pengecaman spesies.
"Oleh itu, pasukan IPPRA akan mengambil sampel untuk menjalankan analisis eDNA bagi menentukan spesies dengan lebih tepat," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Jabatan itu juga menyatakan bahawa spesies tersebut berkemungkinan adalah paus Bryde atau Fin (finback).
Pihak jabatan turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat mengenai penemuan tersebut dan tindakan telah diambil berdasarkan maklumat yang diberikan.
"Kerjasama seperti ini amat penting dalam usaha memulihara dan memelihara hidupan laut di perairan negara.
"Untuk makluman orang ramai, di bawah Akta Perikanan 1985, spesies paus adalah dilindungi di bawah peruntukan berkaitan spesies marin terancam.
"Oleh itu, sebarang gangguan atau eksploitasi terhadap paus adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Tahun lalu, seekor paus seberat 80 kilogram (Kg) ditemui terdampar di Kampung Tanjung Batu, Pekan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram