[VIDEO] 'Macam mana boleh masuk perairan Sarawak?', kehadiran kapal layar dari Rusia cetus tanda tanya


  • Massa
  • Ahad, 22 Dis 2024

Kehadiran kapal layar 'Pilgrim' dari Rusia terkandas di beting pasir di Kuala Oya mencetuskan tanda tanya penduduk tempatan. — Facebook/N.57 Tellian

PENDUDUK di sekitar Kuala Oya dekat Mukah, Sarawak dikejutkan dengan penemuan sebuah kapal layar milik warga Rusia pada Sabtu.

Difahamkan kapal layar tersebut terkandas di benting pasir pantai berkenaan selepas dibadai dibadai ombak besar dan ribut kencang.

Kehadiran kapal layar tersebut turut menarik perhatian ramai dan menjadi perbualan dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia

Manakan tidak, kehadiran kapal layar yang dinaiki empat warga negara Rusia itu merupakan kejadian pertama yang berlaku di Kuala Oya.

Melalui tinjauan di media sosial, ada segelintir warga maya yang meluahkan kerisauan dengan kemunculan kapal layar berkenaan.

Seorang warga maya McMillian Asau menasihatkan kehadiran kapal layar ini perlu ditangani dengan berhati-hati.

Katanya, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan rapi untuk memastikan tiada ancaman keselamatan atau isu lain yang timbul daripada situasi tersebut.

“Perlu ada langkah pengesahan. Pihak Maritim Malaysia dan agensi berkaitan mesti memastikan pelayar ini benar-benar terkandas akibat ribut, bukan disebabkan tujuan lain yang mencurigakan,” tulisnya.

Pendapat McMillian itu turut dipersetujui Alan Buang.

"Macam mana boleh terlepas masuk dalam perairan Sarawak? Tentera negara luar pun ada 'code' tersendiri.

"Jangan ambil mudah isu ini," tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat mengesahkan kejadian terbabit.

Menurut Saga, berdasarkan keterangan kapten kapal dikenali Sinelnik Sergei, alat navigasi Global Positioning System (GPS) kapal mereka rosak ketika melalui perairan Miri dan pada masa yang sama berhadapan keadaan laut bergelora.

"Mereka tersangkut di beting pasir Kuala Oya kerana tidak tahu kawasan dan laluan masuk ke Kuala Sungai Oya untuk berlindung.

"Selepas kapal terkandas, mereka keluar dari kapal menggunakan 'life raft' untuk mencari tempat perlindungan," katanya.

Menurutnya lagi, kesemua kru kapal itu tidak memerlukan bantuan pihak polis, kerana mereka hanya menunggu air pasang bagi membolehkan keluar dari beting pasir

"Namun mereka juga ada memohon bantuan kapal tunda untuk menarik kapal mereka dari beting pasir.

"Kesemua empat warga Rusia itu mempunyai dokumen dan pasport yang sah dan mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis ketika ditemubual untuk mengetahui punca mereka terkandas di Kuala Oya itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram