
KEHANGATAN semakin dirasai menjelang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2025 dengan calon bagi hampir setiap kategori sudah diumumkan dengan penyokong amat tertarik untuk melihat para pemenang.
Tumpuan sudah tentu dihalakan kepada kategori Pemain Paling Bernilai (MVP) dengan pemenang edisi lalu, Arif Aiman Hanapi berpeluang menjulangnya buat kali keempat berturut-turut.
Namun, di sebalik senarai dikeluarkan, ada juga beberapa pencalonan yang menimbulkan persoalan dengan penyokong mempersoalkan kriteria ditetapkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penganjur.
BACA LAGI: Kelegaan Badrul Afzan selamatkan satu mata disahut keluhan Stano hilang dua mata
BACA LAGI: Aksi berdepan JDT peluang Sabah nilai kemampuan sebenar — Martin Stano
Stano tidak berada dalam 10 senarai jurulatih untuk mengungguli kategori Jurulatih Terbaik. — Facebook/MFL
Ini termasuk tanda tanya berhubung ketiadaan pengendali Sabah FC, Martin Stano yang tidak berada dalam senarai 10 calon bagi kategori Jurulatih Terbaik meskipun pasukan itu kini berada di tangga ketiga Liga Super.
Hal tersebut menjadi persoalan kerana calon lain seperti Victor Andrag dan Fandi Ahmad diketengahkan MFL meskipun pasukan dikendalikan mereka tidak berada dalam prestasi terbaik.
Bagaimanapun, ada pula beranggapan Stano sememangnya belum layak untuk disenaraikan memandangkan kejayaan membawa kelab Borneo tanah air tersebut ke prestasi cemerlang bukanlah hasil titik peluhnya semata-mata.
"Anda tanya kenapa tidak calonkan ketua jurulatih Sabah FC? Bila dia ambil alih tugas kejurulatihan pasukan? Sebelum ini, siapa pengendali Sabah FC? Jadi, tidak layaklah dia untuk dicalonkan kerana baru sahaja dilantik," kata Julasi Ranis.
Kim Swee kini mengendalikan Persis Solo yang beraksi di Indonesia. — Facebook/Persis Solo
"Mustahil untuk Martin Stano diangkat jadi calon jurulatih terbaik, baru sahaja berapa bulan. Jika Datuk Ong Kim Swee, baru layak dicalonkan kerana dia bawa Sabah sehingga ke kedudukan tiga teratas," kata Boboyz Ray.
"Kenapa mahu dipersoalkan? Bukankah dia baru sahaja diangkat menjadi jurulatih Sabah FC? Jadi, belumlah dapat lihat persembahan terbaiknya untuk skuad Sang Badak," kata Venna Leeya Qalleesya.
Stano sebelum ini dilantik sebagai pengendali skuad Sang Badak berikutan keputusan Kim Swee yang berkelana ke Indonesia untuk membimbing Persis Solo bermula Disember lalu.
Dia yang dahulunya memikul tanggungjawab jurulatih kecergasaan bagaimanapun gagal meneruskan rentak positif dipamerkan skuad Sang Badak apabila mereka terumbang-ambing kebelakangan ini.
Ini termasuk mengalami empat keputusan seri berturut-turut dalam Liga Super selain berputih mata untuk mara ke pentas akhir Piala Malaysia susulan penyingkiran kepada Sri Pahang FC di peringkat separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram