Hero tak didendang, sayang import TFC, Kuching dan Penang tak tercalon ABK 2024/25


  • Podium
  • Isnin, 10 Mac 2025

Sebanyak 10 pemain import dicalonkan dalam kategori import terbaik ABK 2024/25. — Facebook/MFL

DALAM dunia bola sepak, kejayaan sesebuah pasukan sering kali dikaitkan dengan bintang utama yang menjaringkan gol atau kapten di atas padang tetapi terdapat individu lain sebenarnya memainkan peranan penting tetapi kurang mendapat pengiktirafan. 

Mereka inilah digelar sebagai 'hero tak didendang', pemain yang bekerja keras di sebalik tabir dengan memberikan impak besar kepada pasukan, namun jarang mendapat perhatian media atau peminat.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025 menyaksikan terdapat beberapa pemain import yang cemerlang tetapi gagal disenaraikan sebagai calon anugerah utama. Ketiadaan mereka dalam senarai pencalonan telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong. 

BACA LAGI: Kes Faisal Halim akan jadi 'rujukan' tapi siasat dulu siapa kawal Instagram Saddil Ramdani

BACA LAGI: Misi ke Asia belum selesai, Selangor perlu buang simpati agar Sabah berasa susah

Kali ini terdapat tiga pemain import yang tidak tercalon tetapi telah menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang musim. Mereka bukan sahaja menjadi tunjang kekuatan pasukan masing-masing, malah turut membantu menaikkan tahap persaingan liga. 

Walaupun tidak mendapat pengiktirafan rasmi, statistik dan sumbangan mereka di atas padang membuktikan bahawa mereka layak berada dalam kelompok terbaik. Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga hero tak didendang yang tidak tersenarai dalam kategori import terbaik.

1) Dylan Wenzel-Halls 

Selepas meninggalkan Central Coast Mariners, Dylan Wenzel-Halls menyertai Penang FC pada 2 September 2024 untuk memperkukuhkan barisan serangan Harimau Kumbang yang sebelum ini menghadapi cabaran dalam menjaringkan gol.

Meskipun pada awalnya, Wenzel-Halls bergelut untuk mendapatkan rentak namun pemain berusia 28 tahun berkenaan meningkatkan mutu permainannya dan akhirnya menjaringkan lima gol dalam 12 penampilan Liga Super. 

Salah satu pencapaian cemerlangnya bersama Penang FC ialah ketika menjaringkan hatrik pertamanya dalam karier profesional pada 12 Januari 2025 dalam perlawanan menentang Perak FC yang berkesudahan seri 3-3. 

Walaupun keputusan perlawanan tidak memihak kepada Penang FC, Wenzel-Halls tetap optimis dengan perkembangan positif pasukan dan menyatakan keselesaannya bermain di bawah kendalian ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Secara keseluruhan, penyertaan Wenzel-Halls telah memberikan impak positif kepada barisan serangan Penang FC, dengan sumbangan gol dan pengalamannya membantu meningkatkan prestasi pasukan dalam saingan liga dan kejohanan domestik. 

2) Nurillo Tukhtasinov

Tukhtasinov kekal menjadi aset Terengganu sejak 2023. — Facebook/TFC

Tonggak tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov menyertai Terengganu pada Julai 2023 dengan pelantikannya adalah untuk menggantikan khidmat pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi. 

Keupayaannya untuk mencipta peluang, melakukan hantaran tepat dan melakukan larian pantas menjadikan Tukhtasinov ancaman berterusan kepada pasukan lawan. Dengan kombinasi kemahiran teknikal dan visi permainan yang tajam, jelas dia merupakan aset penting TFC.

Dari segi statistik pula, pemain berusia 28 tahun berkenaan berjaya menjaringkan lima gol dan tiga bantuan jaringan dalam 35 perlawanan Tukhtasinov diturunkan oleh barisan kejurulatihan Sang Penyu. 

Sumbangan tidak ternilai itu membuatkan pihak pengurusan Terengganu memutuskan untuk menyambung kontrak Tukhtasinov. Pada November lepas, Terengganu mengumumkan yang mereka melanjutkan kontrak Tukhtasinov sehingga Disember 2025.

Keputusan itu bukan sahaja membuktikan kepercayaan pengurusan TFC terhadap kemampuannya, tetapi juga menunjukkan kesungguhan Tukhtasinov sendiri untuk terus memberi impak di pentas bola sepak Malaysia.

3) Jordan Mintah 

Mintah (kiri) menyertai The Cats pada awal musim 2024/25. — Facebook/KuchingCity

Sejak tidak mendapat tempat dalam skuad Sang Penyu, Jordan Mintah membawa haluan terbang ke kota Kuching, Sarawak dengan menyertai pasukan The Cats pada jendela perpindahan Mac 2024/2025. 

Ketajaman penyudah dan kepantasan Mintah di hadapan gawang lawan menjadikannya ancaman utama kepada barisan pertahanan pasukan lain, secara tidak langsung meningkatkan mutu serangan pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak. 

Pada 26 Februari 2025, Mintah membuktikan kehebatannya dengan menjaringkan hatrik ketika Kuching City FC menewaskan Kelantan Darul Naim 3-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan. 

Kemenangan itu bukan sahaja memberikan tiga mata berharga kepada pasukan, tetapi turut menonjolkan keupayaan Mintah sebagai pemain yang mampu mengubah rentak permainan dengan kemahiran individunya. 

Dengan jaringan tersebut, jumlah golnya dalam saingan Liga Super meningkat kepada 11 dalam 22 penampilan, menunjukkan konsistensinya sebagai penjaring utama pasukan.

Kejayaannya dalam menjaringkan gol juga membuktikan kepentingannya dalam membantu Kuching bersaing dengan lebih kompetitif dalam liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram