
PERUNTUKAN kerajaan yang akan diberikan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan berita gembira buat seluruh rakyat di daerah itu.
Peruntukan yang bakal diterima tidak lama lagi itu selepas lima sesi rundingan dilakukan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu juga mengakui bahawa dirinya tidak mempunyai sebarang isu untuk menandatangani perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) atau memorandum persefahaman (MoU) serta memenuhi semua syarat termasuk pengisytiharan harta.
Kerajaan bersetuju untuk memberi peruntukan kepada Syed Saddiq selepas melepas syarat-syarat ditetapkan. — The Star
"Jika ada keperluan untuk mengisytiharkan harta, saya akan melakukannya.
"Saya antara menteri pertama yang berbuat demikian sebelum pilihan raya. Saya tidak kisah untuk mengisytiharkan setiap tahun, ia tidak menjadi masalah.
"Ini untuk kebaikan penduduk Muar, Johor dan semoga ada berita gembira untuk mereka tidak lama lagi agar bantuan dan pembangunan kebajikan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
"Insya-ALLAH, jika perjanjian ini berjaya, semuanya akan berjalan lancar. Saya menyambut baik ini secara positif dan juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan TPM Fadillah," katanya pada Isnin.
Ia sedikit sebanyak melegakan hati rakyat Muar kerana turut menerima faedah terutamanya untuk membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Rata-ratanya di media sosial meluahkan rasa syukur dan berharap agar ia dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
"Alhamdulillah, amat bermakna buat rakyat Muar. Sudahlah nak dekat raya, boleh salurkan kepada yang memerlukan," komen Adi Sumiray.
"Ahli Parlimen paling berfungsi, tahniah juga penduduk Muar dapat yang bertanggungjawab dan amanah," tambah Mohd Farhan.
"Ambil sahaja Saddiq, bantu rakyat. Kalau suruh isytihar buat sahaja semua untuk rakyat," sokong Sahara Nabillah.
Sementara itu, Syed Saddiq menjelaskan bahawa semua butiran kini berada di peringkat akhir dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Beliau juga menyatakan bahawa masih belum menerima maklum balas daripada ahli parlimen pembangkang yang lain.
Sebelum ini, Syed Saddiq mendakwa terpaksa bersetuju menjadi model pakaian tradisional bersama selebriti terkenal, Bella Astillah sebagai usaha mendapatkan dana bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram