Ketika berkahwin kongsi bayar, lepas bercerai isteri 'buruk siku', boleh atau tidak tuntut tunggakan nafkah?


  • Massa
  • Isnin, 10 Mac 2025

Segelintir pasangan terpaksa mengambil keputusan untuk kongsi bayaran atas faktor tertentu. — Gambar hiasan/Freepik

PERCERAIAN bukan sahaja membawa kesan emosi, bahkan menimbulkan persoalan berkaitan hak dan tanggungjawab antara bekas pasangan, termasuk tuntutan nafkah.

Dalam Islam, nafkah isteri selepas perceraian hanya wajib diberikan dalam tempoh iddah.

Namun, jika terdapat tuntutan nafkah tertunggak atau perjanjian tertentu antara pasangan semasa perkahwinan, perkara ini boleh dibawa ke mahkamah.

BACA LAGI: Diterima bekerja kerana cantik, mana lebih penting bijak atau rupa paras menawan?

BACA LAGI: Soo Winci hampir 14 tahun berpuasa, Mekyun, Tara Choi terharu sokongan 'followers'

Irsamuddin menjelaskan, sebarang tuntutan tunggakan nafkah perlu dirujuk semula kepada perjanjian awal dibuat pasangan terlibat.

Bagaimana pula jika sepanjang perkahwinan, pasangan berkongsi bayaran untuk keperluan rumah tangga?

Adakah isteri masih berhak menuntut nafkah selepas perceraian dalam keadaan sedemikian?

Sehubungan itu, Majoriti mendapatkan penjelasan lanjut daripada peguam syarie, Irsamuddin Fitri berhubung perkara ini.

Menurut  beliau, secara asasnya, suami bertanggungjawab menyediakan keperluan asas isteri seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian, keperluan peribadi seperti alat mandian, serta perkhidmatan yang diperlukan oleh isteri.

"Kalau suami mampu, maka akan ada kehendak seperti beg tangan, barang kemas dan sebagainya. Pakaian termasuk asas. Jadi, kalau ada kemampuan lebih sikit, barulah pergi kepada kehendak," katanya.

Namun, ada pasangan yang memilih untuk berkongsi tanggungan kewangan berikutan keadaan ekonomi tidak menentu.

Misalnya, dalam urusan pembayaran rumah, bil utiliti atau perbelanjaan harian, suami dan isteri mungkin bersetuju untuk berkongsi kos.

Dalam situasi tersebut, timbul persoalan sama ada isteri boleh menuntut nafkah selepas perceraian jika sebelum ini mereka telah bersama-sama menanggung perbelanjaan rumah tangga.

Kata Irsamuddin, jika terdapat persetujuan awal yang mana isteri rela berkongsi bayaran, maka tuntutan nafkah selepas perceraian mungkin tidak dapat dibuat.

"Berbalik semula semasa hubungan masih dalam keadaan baik. Perbincangannya macam mana? Kalau perbincangannya, ‘abang bayar RM500, sayang bayar RM500’, dan pada waktu itu si isteri setuju, maka pada saat itu dia tak boleh nak tuntut balik," katanya.

Namun, sekiranya isteri mengalami kesukaran selepas perceraian dan memerlukan bantuan kewangan, dia boleh mengemukakan tuntutan kepada mahkamah untuk mempertimbangkan keadaan semasanya.

Mahkamah akan mengambil kira bukti yang ada sebelum membuat keputusan. Pun begitu, bekas suami masih diberi ruang untuk membela diri.

"Bekas isteri boleh failkan kes tunggakan nafkah. Apabila suami kata pada waktu itu, si isteri setuju untuk kongsi bayaran dan suami berjaya buktikan situasi itu, maka pada saat itu, isteri tidak boleh tuntut sebab dia sendiri rela hati," jelasnya.

Beliau turut berkongsi beberapa kes yang pernah dikendalikannya yang mana timbul pertikaian selepas perceraian apabila isteri menuntut kembali perbelanjaan yang pernah dikongsi bersama suami.

Cheerful pretty woman and her handsome husband managing family budget while sitting at wooden table, interior of living room on background

Pasangan suami isteri dinasihatkan untuk berbincang secara jelas mengenai pembahagian kewangan sepanjang perkahwinan. — Gambar hiasan/Freepik

"Ada kes di mana si isteri tiba-tiba menuntut balik bayaran rumah yang telah dikongsi bertahun-tahun. Sedangkan, waktu perkahwinan, dia sendiri bersetuju untuk membayar tanpa syarat. Jadi, bila sudah bercerai, nak tuntut balik," kongsinya.

Senario itu jika hendak diterjemahkan ke dalam bahasa mudahnya ialah 'buruk siku'.

Dalam kebanyakan kes, isteri yang menanggung sebahagian daripada perbelanjaan rumah tangga berbuat demikian atas dasar tolak ansur dan keharmonian perkahwinan.

Namun, apabila berlaku perceraian, perjanjian awal yang dibuat perlu dirujuk. Jika terdapat bukti bahawa isteri secara rela hati bersetuju untuk berkongsi bayaran tanpa sebarang syarat untuk menuntut kembali selepas perceraian, maka mahkamah boleh menolak tuntutan tersebut.

Setiap kes mempunyai situasi berbeza, dan keputusan mahkamah bergantung kepada bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Oleh itu, pasangan suami isteri dinasihatkan untuk berbincang secara jelas mengenai pembahagian kewangan sepanjang perkahwinan bagi mengelakkan pertikaian kemudian hari.

Sekiranya perlu, mereka boleh membuat perjanjian bertulis agar hak dan tanggungjawab masing-masing lebih jelas dan diiktiraf secara sah.

Dengan itu, sebarang pertikaian mengenai nafkah selepas perceraian dapat dielakkan atau diselesaikan dengan lebih mudah di mahkamah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram