
PERSEMBAHAN kurang bersemangat ditampilkan ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) bertemu Buriram United di Chang Arena, Thailand pada Selasa dalam pertembungan pertama peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite 2024/25.
Perlawanan yang berkesudahan tanpa sebarang jaringan itu sememangnya diharapkan dapat memberi keterujaan buat peminat bola sepak tanah air kerana mereka merupakan wakil terakhir dari Asia Tenggara.
Namun, keadaan padang yang kurang memuaskan menyaksikan aksi kedua-dua pasukan, terutamanya daripada skuad Harimau Selatan tidak menepati ramalan orang ramai.
BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong
BACA LAGI: [VIDEO] Boakye ancaman besar JDT hadapi Buriram United?
Persembahan memukau Dion Cools bersama Buriram United meraih pujian peminat Harimau Malaya. — Facebook/Buriram United
Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan penyokong itu, masih ada yang berpuas hati dengan persembahan ditampilkan tonggak Buriram United, Dion Cools, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Pemain pertahanan kanan tuan rumah itu jelas membawa kesukaran buat JDT kerana beberapa kali mencipta peluang, termasuk membuat hantaran lintang yang gagal ditampan mana-mana rakan sepasukannya.
Aksi memukau ditampilkan itu sekali gus membawa kelegaan buat peminat bola sepak tanah air memandangkan kelebihan dibawakannya itu mampu memberi manfaat buat Harimau Malaya.
Tetapi, sebelum impak dimilikinya mampu membuahkan hasil, posisi Dion Cools terlebih dahulu perlu diubah kepada bek sayap kanan kerana dia kini hanya diturunkan sebagai pemain pertahanan tengah.
"Saya mengharapkan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan akan memainkan Dion Cools di posisi terbaiknya. Tidak perlu lagi diletakkan sebagai bek tengah, biarkan sahaja dia berada di posisi sayap kanan dan benarkan dia menampilkan aksi terbaik," kata T Avineshwaran.
Dion Cools kerap beraksi sebagai bek tengah dalam skuad kebangsaan meskipun boleh beraksi dalam posisi lain. — Facebook/FAM
"Hantaran silang dia padu, mujur tak dapat disambar baik oleh rakan sepasukan. Gaya permainan dia pun padu," kata Mohd Farid Mohamed.
"Cepat-cepatlah kita dapatkan bek tengah warisan yang berkualiti. Bolehlah letakkan Dion Cools untuk beraksi sebagai bek kanan dalam skuad kebangsaan," kata Atma Sepi.
Selain pernah beraksi sebagai pertahanan sayap, bekas pemain FC Midtjylland itu juga boleh diturunkan sebagai pemain sayap, lebih-lebih lagi ketika Buriram United bermain dalam liga domestik.
Impak daripada kebolehan beraksi dalam pelbagai posisi itu menyaksikan Dion Cools berjaya menjadi watak utama buat kelab Thailand tersebut dengan 98 penampilan sudah direkodkannya sejak tiga tahun lalu.
Kelainan mampu ditawarkan itu perlu dimanfaatkan pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada penghujung Mac nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram