
SELEPAS beberapa bulan dicanang akan memperkuatkan bahagian serangan Harimau Malaya, Ferdy Druijf dikatakan semakin hampir menyarung jersi skuad kebangsaan susulan proses dokmentasinya dilaporkan sudah pun selesai.
Perkembangan itu akan menyaksikan kemungkinan pemain kelahiran Belanda tersebut akan membela nasib Harimau Malaya menjelang perlawanan kempen Kelayakan Piala Dunia FIFA 2026/Piala Asia 2027 nanti.
Pada awal khabar anginnya, kehadiran Druijf sememangnya menerima sambutan hangat daripada penyokong susulan dia merupakan tonggak utama buat setiap pasukan diwakilinya seperti Rapid Vienna, PEX Zwolle dan beberapa kelab lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Petik nama TMJ, Ferdy Druijf semakin hampir sarung jersi Harimau Malaya?
BACA LAGI: Tunggu masa jadi ‘free agent’, JDT-TFC dilihat 2 destinasi ideal Ferdy Druijf
Namun, status terkini mengenai penyerang berusia 27 tahun itu kurang digemari oleh sebahagian penyokong kerana dia sudah sekian lama tidak terlibat dalam perlawanan kompetitif sejak Januari 2024.
Oleh itu, tidak pelik jika ada penyokong berpendapat memanggil pemain tinggi lampai itu dilabel sebagai satu perjudian dek khuatir dengan stamina Druijf yang baru pulih dari kecederaan lutut.
Sehubungan dengan masalah isu kecederaan itu, pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley berpendapat tidak wajar memanggil Druijf ke kem Harimau Malaya dan lebih baik digantikan dengan pemain lebih cergas.
Druijf memiliki pencapaian luar biasa sepanjang kariernya di Belanda. — Instagram/Ferdy Druijf
"Jika cedera, tak wajar untuk panggil Druijf sertai kem Harimau Malaya akan datang, kerana kuotanya boleh digunakan kepada pemain lain lebih cergas.
"Jika Druijf dipanggil juga, ia lebih kepada membantu Druijf dalam tempoh pemulihan serta pakar perubatan Harimau Malaya boleh menilai sejauh mana kecederaan dialami pemain itu," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Afiq juga memberi 100 peratus kepercayaan kepada Druijf untuk menyusun corak permainan yang sesuai bagi membantu bakal pemain baharu Harimau Malaya itu menyesuaikan diri dengan skuad kebangsaan.
"Mana-mana pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Rekodnya sebelum ini memang terbukti bagus, dan ini cabaran kejurulatihan negara untuk menyusun strategi atau melihat taktikal bersesuaian bagi menyerlahkan potensi sebenar Druijf," tambahnya.
Peter Cklamovski bertanggungjawab untuk membantu menyerlahkan potensi Druijf. — Agensi
Penyerang kelahiran Belanda itu pernah mewakili Rapid Vienna (Austria), AZ Alkmaar, NEC Nijmegen (Belanda) dan KV Mechelen (Belgium) dan telah meledak 112 gol serta 21 bantuan jaringan dalam 265 penampilan.
Berdasarkan rekod Druijf, pemain berketinggian 1.90 meter ini cukup lincah dan versatil di posisi hadapan sekali gus boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan juga penyerang utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram