'Macam ini nak pergi Asia?', fans kecewa 'last minute' Haqimi Azim curi 1 mata Sabah di Likas


  • Podium
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Cuaca hujan lebat di Stadium Likas mengganggu momentum kedua-dua pasukan selepas waktu sepak mula ditangguhkan. — Sabah FC

PERLAWANAN Liga Super minggu ini pastinya tertumpu kepada aksi antara Sabah FC melayani kunjungan Kuala Lumpur City (KL City) apabila kedua-dua pasukan memasang impian untuk mengutip tiga mata berharga bagi memperbaiki kedudukan masing-masing di dalam liga.

Aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu menyaksikan penyokong perlu menunggu lebih lama selepas perlawanan tertangguh akibat hujan lebat.

Aksi yang sepatutnya dijadualkan bermula pada pukul 7:15 malam ditangguhkan sehingga 9:15 malam Jumaat sekali gus mengganggu momentum kedua-dua pasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Penuh pengalaman di Asia, Mark Milligan rasmi 'assistant' Peter Cklamovski kemudi Harimau Malaysia

BACA LAGI: Bukan saja Pohang, 3 lagi kelab Korea Selatan alami mimpi ngeri ketika JDT 'sambut tetamu'

Sabah menurunkan empat pemain import untuk membantu Martin Stano mengutip tiga mata penuh selepas seri menentang Sri Pahang di halaman sendiri pada 16 Februari lalu.

Manakala KL City juga mempertaruhkan empat pemain import untuk membawa pulang tiga mata di halaman lawan.

Namun malang bagi pasukan pelawat apabila Sabah berjaya menjaringkan gol seawal minit keenam menerusi tandukan S.Kumaahran selepas menerima hantaran Farhan Roslan.

Meskipun permukaan padang lecak namun kedua-kedua pasukan masih mampu membalas serangan ke kubu pertahanan lawan masing-masing.

Melihat situasi Sabah yang berjaya mendahului KL City, penyokong mempersoalkan ketiadaan Saddil Ramdani di atas padang kerana mahu melihat Sang Badak terus gairah memburu jaringan.

"Saddil (Ramdani) mana? Saya terlepas pandang ke ini?" soal Meliddion Elong.

Namun begitu, persoalan diwujudkan Meliddion dijawab oleh beberapa penyokong lain yang peka akan situasi dialami oleh pemain kebangsaan Indonesia itu.

"Dia tak cergas, masih belum pulih dari kecederaan, sebab itu prestasi dia sejak akhir-akhir ini tak macam dulu," kata Sallenaldo Salledinho.

"Dia dapat tiga kad kuning boleh main ke?" tambah Oderamdani.

Keputusan kekal 1-0 dengan Sabah mendahului perlawanan hasil jaringan S.Kumaahran.

Bersambung babak kedua perlawanan, suhu permainan semakin perlahan disebabkan permukaan padang yang becak akibat hujan lebat di kawasan Stadium Likas.

Namun KL City tidak mahu pulang dengan tangan kosong apabila mengandakan serangan ke arah barisan pertahanan Sabah dengan pelbagai percubaan untuk menewaskan Damien Lim.

Selepas berusaha selama 35 minit, Haqimi Azim menjadi duri dalam daging buat Sabah apabila berjaya menewaskan Park Tae-su untuk menjaringkan gol penyamaan buat The City Boys.

Permukaan pada becak amat menyukarkan pergerakan pemain-pemain selama 90 minit namun semangat mereka wajar diberi pujian selepas kedua-dua berusaha untuk menjaringkan gol.

Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Tidak dapat menerima keputusan tersebut, penyokong Sabah berpendapat Sang Badak masih belum layak untuk bertanding di Asia.

Rata-rata mereka juga seperti sudah menjangka keputusan akhir di Likas itu akan berakhir dengan seri ataupun kalah di tangan lawan kerana permukaan padang yang tidak bagus.

"Macam ini nak pergi Asia? Ketiadaan penyerang prolifik sangat susah untuk menang, ditambah lagi dengan padang yang teruk," kata Hermanly Rinus.

"Sudah agak akan seri, tidak apalah, Sabah dah main bagus padang betul-betul ganggu permainan. Tapi kalau padang kering rasanya Sabah boleh kalah sebab KL City punya serangan balas cukup menakutkan," ujar Tom Bee Ruo.

"Sudah cakap seri atau kalah sahaja keputusan yang Sabah dapat buat sekarang. Tolong jangan bagi Park itu main pertahanan kurang laju nak kawal penyerang lincah dan laju," luah Lengcai Krip.

Selepas ini, Sabah akan bertemu Selangor FC di halaman lawan pada 27 Februari, manakala KL City pula akan melayani kunjungan PDRM FC di Stadium Cheras pada 26 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram