
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United sekali lagi terikat tanpa jaringan dalam aksi pusingan 16 pertama saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) yang berlangsung di Stadium Chang Arena, Thailand.
Perlawanan yang dianggap sebagai ‘derbi Asia Tenggara’ itu menyaksikan kedua-dua pasukan memburu tiket ke peringkat suku akhir, selepas kali terakhir mereka bertemu pada aksi peringkat kumpulan ACLE Disember lalu yang turut berakhir dengan keputusan seri 0-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
JDT yang dikendalikan Hector Bidoglio menurunkan gandingan Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva di jentera serangan, sementara Buriram United mempertaruhkan bintang utama seperti Dion Cools dan Guilherme Bissoli.
BACA LAGI: Dulu ligat atas padang, Gopi kini berniaga di bazar Pontian
BACA LAGI: Temerloh ibarat lubuk, Tok Gajah tiada 'luck', sekali lagi tumpas di laman sendiri
JDT terpaksa bekerja keras dalam aksi timbal balik yang akan berlangsung di SSI 11 Mac nanti. — Facebook/JOHORSouthernTigers
Sepanjang permainan, JDT tampak sedikit bergelut dengan keadaan padang yang kurang baik, menyukarkan mereka untuk mengatur serangan dari bahagian sayap.
Buriram United hampir membuka tirai jaringan menerusi Bissoli dan Martin Boakye, namun percubaan mereka tersasar.
Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.
Memasuki babak kedua, JDT melakukan pertukaran dengan membawa masuk Samu Castillejo dan Jorge Obregon dalam usaha mencari gol pendahuluan.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-64 apabila tandukan deras Suphanat Muenta hasil hantaran Lucas Crispim hampir memecah kebuntuan, tetapi penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre bertindak cemerlang menepis percubaan tersebut.
Aksi di Chang Arena berakhir dengan keputusan seri 0-0, menjadikan perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Mac ini sebagai penentu pasukan yang akan melangkah ke suku akhir.
Susulan keputusan seri itu, ramai penyokong Harimau Selatan berpendapat bahawa keadaan padang menjadi faktor utama yang menyukarkan JDT untuk meraih kemenangan.
"Buriram United saja terukkan padang, kalau padang cantik mereka tahu agak berisiko nak lawan JDT," kata Amar Syariff.
"Setuju, padang Buriram sebenarnya cantik tapi mereka sudah set untuk siram air lebih mungkin, pandai Buriram kacau gameplay JDT," kata Engku Rafi.
"Padang licin, agak terbatas pergerakan pemain JDT, kalau main betul-betul nanti boleh cedera, bila cedera, main dekat SSI lagi susah, sebab itu macam JDT main hati-hati," kata Ben Azri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram