'Mana nak cari 20,000 unit kit?', ramai sokong cadangan kerajaan tak wajibkan 'urine test' kepada pengunjung konsert


  • Massa
  • Selasa, 04 Mac 2025

Tiada keperluan untuk penganjur konsert wajib melakukan ujian air kencing terhadap pengunjung.

KERAJAAN tiada perancangan untuk mewajibkan penganjur konsert di negara ini melakukan ujian air kencing terhadap setiap pengunjung yang hadir sebagai salah satu syaratnya.

Cadangan itu muncul selepas melihat beberapa kes kematian melibatkan sebuah festival muzik yang diadakan di Subang Jaya, Selangor pada tahun lalu.

Namun begitu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sudah terdapat garis panduan yang sedia ada untuk penganjur ikuti bagi memastikan konsert berjalan dengan selamat.

BACA LAGI: Tiga suspek disyaki jual dadah di konsert Pinkfish ditahan

BACA LAGI: Dua pengunjung Pinkfish disyaki ambil ekstasi stabil, masih terima rawatan di PPUM — Polis

Fahmi Fadzil.

Akan tetapi, Fahmi berkata yang kerajaan sedia untuk melakukan perubahan mengenainya sekiranya diperlukan pada masa hadapan.

"Kementerian Komunikasi melalui Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) merupakan pusat setempat yang berperanan sebagai urus setia Jawatankuasa PUSPAL untuk menyelaras dan memproses permohonan kemasukan artis dan kru luar negara.

"Garis Panduan PUSPAL telah disediakan sebagai rujukan kepada penganjur persembahan mengenai aspek-aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan dalam penganjuran suatu persembahan melibatkan artis luar negara.

"Antaranya ialah penganjur hendaklah mengambil apa-apa langkah yang perlu sebelum, semasa dan selepas persembahan bagi memastikan tiada aktiviti berkaitan rokok, minuman keras dan dadah di lokasi persembahan sepanjang tempoh persembahan," kata Fahmi dalam jawapan bertulis bagi Dewan Rakyat kepada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

Keputusan kerajaan itu dilihat wajar kerana jika ia diwajibkan, penganjur pastinya perlu menelan belanja bagi melaksanakan ujian tersebut.

Ia sekali gus boleh menjadi penyebab kepada kenaikan harga tiket konsert kerana penganjur perlu mengeluarkan kos untuk melaksanakan ujian air kencing.

"Mana nak cari 20,000 kit ujian air kencing? Lepas tu, ada ke masa nak buat ujian dekat semua pengunjung,? soal Ricky Strongman.

Mungkin, tindakan daripada mengambil bahan terlarang adalah pilihan individu kerana jika digunakan secara berlebihan, ia pasti mengundang masalah dan memudaratkan diri sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram