DUA mangsa yang terselamat selepas disyaki mengambil pil ekstasi di konsert ambang tahun baharu, Pinkfish di Bandar Sunway dekat Subang Jaya, Selangor pada malam Tahun Baru kini sudah berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua individu berkenaan masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur dan dilaporkan stabil.
Katanya, pihak polis sedang menunggu kebenaran doktor untuk merakam kenyataan mereka.
BACA LAGI: Polis rekod kenyataan 43 individu termasuk penganjur konsert Pinkfish
BACA LAGI: [VIDEO] Empat maut ketika hadiri konsert 'countdown New Year' di Bandar Sunway
"Mereka masih dirawat di unit rawatan rapi tetapi keadaannya masih lemah.
"Kami perlu menunggu masa yang sesuai dan kebenaran daripada doktor sebelum merekodkan kenyataan mereka," katanya pada Rabu.
Jelas beliau lagi, pihak polis akan menyoal siasat mangsa mengenai beberapa perkara, termasuk di mana dan daripada siapa mereka membeli pil ekstasi tersebut.
"Kami sedang menunggu laporan toksikologi mangsa dan polis sedang berusaha mengumpulkan maklumat yang boleh diambil tindakan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menjual pil ekstasi tersebut.
"Setakat ini, kami telah merekodkan kenyataan 49 individu, termasuk penganjur, ahli keluarga mangsa, rakan-rakan, serta petugas perubatan," katanya.
Kenyataan penganjur itu telah direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan menerima laporan kematian empat individu dan tiga cedera selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway pada 31 Disember lalu.
Empat mangsa tersebut, bersama tiga yang lain, tidak sedarkan diri selepas menggunakan dadah di konsert berkenaan.
Salah seorang mangsa yang terselamat telah pun dibenarkan keluar dari hospital.
Beliau mendedahkan bahawa siasatan menunjukkan kesemua mereka telah mengambil pil ekstasi di konsert tersebut.
Jelas Hussein lagi, ada kemungkinan sesetengah mangsa membeli dadah itu sebelum menghadiri konsert, manakala yang lain mungkin membelinya di lokasi kejadian.
"Terdapat juga syak wasangka bahawa terdapat individu yang menjual dadah semasa konsert berlangsung.
"Penganjur konsert gagal memastikan keselamatan pengunjung acara.
"Kami juga sedang menyiasat sama ada konsert Pinkfish ini melebihi kapasiti. Kami dapati 14,000 tiket telah dijual.
"Dengan kehadiran pasukan keselamatan dan bantuan kecemasan, kami percaya lebih daripada 14,000 orang berada di sana pada malam itu," katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram