
PERMOHONAN ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin untuk dilepaskan serta dibebaskan ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Hakim Roszianayati Ahmad menolak permohonan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, kerana berpendapat tuduhan terhadap mereka yang mengabaikan kanak-kanak tersebut tidak cacat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebagai rekod, Zaim Ikhwan dan Isnanira memohon untuk dilepaskan serta dibebaskan daripada segala pertuduhan sejak 13 Jun 2024.
BACA LAGI: Keputusan pertuduhan ibu bapa Zayn Rayyan ditetapkan 4 Mac
BACA LAGI: Guru terdengar ibu Zayn Rayyan jerit 'ini salah mummy' sehari lepas dilaporkan hilang
Zayn Rayyan.
"Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh tidak cacat, maka permohonan notis ini ditolak," katanya.
Sebelum itu, pihak Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa menerusi afidavit yang difailkan, mengatakan mereka tidak menjumpai sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa.
Menurut Zaim Ikhwan dan Ismanira, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 seperti yang disabitkan.
"Kami membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa. Kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.
"Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab, dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami. Oleh itu, kami tidak dapat menyediakan pembelaan," katanya.
Rentetan keputusan daripada mahkamah tinggi, perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira akan diteruskan di Mahkmah Seksyen Petaling Jaya pada 11 Mac. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram