[VIDEO] Masih belum dapat berbuka puasa bersama keluarga, warga Palestin syukur iftar beramai-ramai sepanjang jalan di Rafah


  • Benua
  • Selasa, 04 Mac 2025

Meja panjang dipasang di Rafah bagi membolehkan warga Palestin berbuka puasa.

MASA masih sukar buat warga Palestin terutamanya di Gaza. Selepas berdepan perang menentang Israel, mereka dapat bertenang seketika kerana gencatan senjata antara Hamas dan rejim Zionis.

Namun begitu, mereka masih tertanya-tanya, apakah yang bakal menanti mereka selepas fasa kedua gencatan senjata masih tidak dijalankan selepas fasa satu tamat pada Sabtu lalu.

Walaupun begitu, rakyat Palestin masih kuat. Dengan Ramadan kini tiba, mereka menunjukkan semangat bersatu kepada dunia dengan lebih kuat berbanding sebelum ini.

BACA LAGI: Israel mungkir janji, enggan lanjut ke fasa kedua gencatan senjata dengan Hamas

BACA LAGI: [VIDEO] Hamas sedia bebaskan 34 tawanan perang Israel

Menerusi perkongsian Nadir Al Nuri, dia menunjukkan video bagaimana rakyat Palestin di Rafah, Gaza melakukan persiapan untuk berbuka puasa dengan penuh meriah walaupun serba kekurangan.

Dapat dilihat yang mereka menyediakan sebuah meja yang panjang dan diisi dengan makanan untuk berbuka sambil dipasangkan lampu-lampu untuk menghiasi waktu malam.

Malah, pembesar suara turut dipasang dengan lagu-lagu rancak dimainkan untuk memeriahkan suasana.

"Tengok ni di Rafah mereka mengadakan majlis iftar beramai-ramai semalam di sepanjang jalan. Mereka kuat selagi mana kita tak membiarkan mereka bersendirian!

"Kesian dengan mereka, tetapi apakan daya. Yang terdaya untuk kita hanyalah membantu keluarga mereka dan saudara kita di sana agar mereka terus bertahan dalam keadaan fasa kedua gencatan senjata masih tergantung," katanya.

Menurut laporan terdahulu, Israel dilihat tidak mahu untuk memasuki ke fasa kedua perjanjian gencatan senjata antaranya dengan Hamas.

Israel dilihat lebih selesa untuk terus kekal di fasa pertama sementara Hamas menggesa untuk ke fasa kedua mengikut garis masa yang sudah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Hamas menanggap tindakan Israel itu dilihat sengaja melakukan sabotaj sambil mengambil peluang untuk meneruskan semula perang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram