[VIDEO] Cedera lepas ledak hatrik, fans The Cats risau keadaan Jordan Mintah


  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Mintah (kanan) hanya memerlukan 59 minit di Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk melengkapkan hatrik buat skuad The Cats. — Facebook/MFL

SATU malam bermakna buat tonggak Kuching City FC, Jordan Mintah apabila dia meledak hatrik ketika pasukannya bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan untuk berdepan skuad Kijang Emas pada Rabu.

Penyerang tersebut meletakkan skuad The Cats dengan dua gol di hadapan pada babak pertama apabila meledak seawal minit ketiga sebelum disusuli gol kedua peribadi tiga minit kemudian.

Dia kemudiannya dihidangkan beberapa peluang sebelum babak pertama berakhir, namun kesemua daripadanya gagal disempurnakan dalam usaha mencatat hatrik pertama buat kelab Borneo tanah air itu.

BACA LAGI: Kelab Liga Super boleh berebut 3 bakat cemerlang KDN jika 'drama' TRW berulang

BACA LAGI: Clayton puas bantu Perak pecah rekod JDT, YCL harap pemain KDN tak putus asa

Bagaimanapun, pada minit ke-59 permainan, usaha pemain itu akhirnya membuahkan hasil selepas dia menampan masuk hantaran rakan sepasukan untuk melengkap tiga gol peribadi.

Tetapi, percubaannya dari jarak dekat memakan diri selepas dia mengalami kecederaan sehingga memaksa pihak perubatan Kuching City FC memasuki padang dan menghentikan permainan.

Penyerang berusia 59 tahun itu kemudiannya terpaksa meninggalkan padang buat sementara waktu ketika skuad The Cats diberikan sepakan penalti, namun gagal disempurnakan Tchetche Kipre.

Jordan Mintah kemudian diberikan peluang beberapa minit di atas padang sebelum ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak mengambil keputusan menggantikannya.

Mintah (tengah) menjadi watak utama ketika pasukannya mengumpul tiga mata penuh. — Facebook/Kuching City FC

Keputusan itu jelas diambil bagi mengurangkan risiko terhadap keadaannya, namun penyokong The Cats terus tertanya-tanya mengenai situasi semasa kecederaannya.

"Bagaimana dengan Jordan Mintah? Adakah dia akan direhatkan lama? Risau sekiranya dia terpaksa berehat lama kerana dia amat diperlukan di atas padang," kata Halim Tariq.

"Tahniah Kuching City, tetapi nampak tadi Jordan Mintah seperti cedera. Lama ke dia perlu diketepikan dari pasukan? Harapnya tidak teruklah keadaannya," kata Zaman Hashim.

Kemenangan di Pantai Timur itu menyaksikan skuad The Cats kini menduduki tangga kelima Liga Super dengan masih terdapat lima perlawanan perlu ditempuhi mereka.

Sementara itu, kekalahan dialami KDN FC menyaksikan mereka terus berada di tangga tercorot selepas 20 perlawanan dengan peluang memperbaiki kedudukan itu semakin tipis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram