
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
SESETENGAH orang mungkin melihatnya sebagai ‘tuah’ jadual perlawanan manakala sebahagian yang lain pula berasakannya membawa ‘sial’ hingga memberi tekanan berganda kepada Kuching City FC (KCFC), menyebabkan pendakiannya dalam carta liga terencat.
Hanya pada penghujung Ogos lalu, skuad The Cats itu boleh bermegah setinggi tangga keempat liga – satu kedudukan yang harus menimbulkan rasa gayat buat wakil Borneo itu.
Kemudian mereka tergelincir sedikit ke tangga kelima dan kini kembali selesa di tangga keenam dengan 23 mata ketika ini dan cuma dipintas Perak FC dengan perbezaan jaringan.
BACA LAGI: Lupakan cerita di Bandaraya, Aidil Sharin mahu The Cats fokus aksi bertemu Sang Penyu
BACA LAGI: Supersub muda muncul wira, elak Penang dimalukan Kuching City di laman sendiri
Jika disorot, malang buat KCFC banyak bersandarkan kepada tiga jadual perlawanannya yang tertangguh gara-gara cuaca buruk – didahului oleh pertemuannya dengan Sri Pahang FC (A) pada 2 November, seterusnya menentang Terengganu FC (A) pada 18 Disember dan berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC (H) pada 24 Januari.
Dalam pertemuan di Temerloh itu, KCFC mendahului 1-0 menerusi gol Yuki Tanigawa pada minit ke-14 apabila pengadil menunda perlawanan disebabkan padang ditakungi air dan menyukarkan permainan.
Kuching City sekadar meraih satu mata dalam aksi bertemu Penang FC pada Ahad lalu.
Laman Facebook Kuching City FC bulan lalu memuat naik satu hantaran mempersoalkan kewibawaan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pentadbir liga atas kelengahannya menggantikan jadual yang tertangguh hingga didakwa tidak memberi keadilan kepada kelab itu.
Malah, jadual pertemuan dengan Sri Pahang FC itu tertangguh empat bulan sebelum diputuskan untuk dilangsungkan semula pada 2 Mac ini.
Penangguhan tiga perlawanannya bermakna The Cats – selepas seri 1-1 dengan Penang FC dalam perlawanan terakhirnya di Stadium Bandaraya, 16 Februari lalu – masih berkelebihan dua perlawanan di dalam tangan.
Berbanding ia dilihat sebagai ‘kelebihan’, penangguhan jadual sebaliknya mungkin membawa kepada kekurangan pula seperti yang terbukti ketika seri 1-1 dengan Perak FC di Stadium Negeri Sarawak pada 7 Februari lalu.
“Ia tidak mudah buat kami,” kata Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak, selepas terikat dengan Perak FC. “Kita tidak ada intensiti jika dibandingkan dengan Perak.
“Cuaca di Kuching juga tidak menyebelahi kita. Hari-hari hujan lebat dengan padang yang sangat becak seperti dapat dilihat dalam perlawanan tadi (dengan Perak). Kita harap dapat pulih dengan baik dan kekal positif kerana ada satu lagi perlawanan besar menentang Penang,” tambahnya.
Jordan Mintah (tengah) muncul selaku sebagai penjaring utama dalam pertemuan Liga Super menentang Penang FC.
Ia bagaimanapun tidak berlaku seperti diharapkannya kerana jaringan pendahuluan The Cats menerusi penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah, pada minit ke-74 dapat diimbangi gol penyamaan Alif Anuar Ikmalrizal pada minit ke-86 untuk KCFC dikerah berpuas hati pulang dengan hanya satu mata.
Keputusan itu bermakna KCFC telah mencicirkan tujuh mata daripada empat perlawanan terakhirnya sejak kekalahan 1-2 kepada Sabah FC dalam aksi liga di Kuching, 4 Disember lalu.
Dengan tiga perlawanan tertangguhnya sudah disenaraikan semula – menentang Terengganu FC (A) pada 21 Februari, berdepan Sri Pahang FC pada 2 Mac dan melayani kunjungan KDA FC pada 12 Mac – The Cats akan terpaksa menangani tempoh rehat lebih pendek di antara perlawanan.
Baki perlawanan mereka selebihnya ialah menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 26 Februari, serta dua perlawanan di tempat sendiri berdepan Selangor FC pada 16 Mac dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 13 April.
Imbas kembali laman Harimau Malaya dalam fokusnya terhadap pasukan-pasukan pada awal musim meramalkan Kuching City FC – dengan rombakan besar-besaran dilakukan Aidil Sharin – akan berkesudahan dalam kelompok enam teratas pada musim 2024/2025 ini.
Seorang yang meyakini kesudahan seperti itu tidak lain daripada Irfan Bakti Abu Salim – bekas jurulatih yang mencadangkan kepada pengurusan pasukan supaya Aidil Sharin diambil bagi menggantikannya pada awal Ogos 2023 – dengan menganggap top 6 adalah dalam jangkauan KCFC.
Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak (dua kanan).
“(Dibandingkan ketika saya jadi ketua jurulatih), sekarang ni Kuching City ada berbelanja sedikit untuk dapatkan pemain-pemain yang mereka mahukan.
"Dengan sokongan kuat pihak pengurusan kelab, kita tak dengar Kuching City ada masalah gaji seperti sesetengah pasukan. Jadi, pemain-pemain boleh beri sepenuh penumpuan terhadap perlawanan tanpa gangguan masalah di luar padang,” katanya.
Ketika pasukannya menduduki tangga keempat penghujung Ogos lalu, Aidil Sharin mengakui enggan terlalu memikirkannya kerana cabaran liga yang masih panjang.
Jurulatih berusia 47 tahun itu juga menyandarkan kemaraan pasukannya sejauh ini kepada kesungguhan pemain-pemainnya untuk terus mengatasi jangkaan ramai.
“Kami tiada apa-apa untuk kerugian jika boleh difahami di mana kedudukan Kuching City sepanjang dua musim lalu.
“Kami akan terus dengan pendekatan menghadapi satu perlawanan demi satu perlawanan. Dalam bola sepak, anda perlu sentiasa laparkan kemenangan,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram