
PEMAIN Kuching City FC dilaporkan mengalami kesukaran untuk kekal fokus selepas tempoh panjang beraksi di gelanggang lawan dalam saingan Liga Super 2024.
The Cats tidak menunjukkan aksi cemerlang dalam perlawanan pertama daripada empat perlawanan berturut-turut di laman lawan apabila hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.
Meskipun Kuching mendahului aksi di Bandaraya menerusi penyerang dari Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-74, namun pasukan tuan rumah bangkit apabila penyerang Alif Ikmalrizal Anuar mencetak gol penyamaan 11 minit kemudian.
BACA LAGI: Supersub muda muncul wira, elak Penang dimalukan Kuching City di laman sendiri
Jordan Mintah (kanan, depan) mencuri tumpuan sebagai penjaring utama dalam pertemuan Liga Super menentang Penang FC.
Selepas ini, pasukan yang berpangkalan di Borneo itu akan bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Terengganu pada 21 Februari, Kelantan Darul Naim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu (26 Februari) dan Pahang FC di Stadium Temerloh pada 2 Mac.
Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin berkata, mereka bersedia menghadapi siri perlawanan berturut-turut yang mencabar di tempat lawan.
“Tidak mudah untuk berada jauh dari laman sendiri dalam tempoh yang panjang dan jadual perlawanan juga cukup mencabar.
"Namun, kami adalah profesional dan ini adalah sebahagian daripada kehidupan kami. Kami akan menuju Gong Badak untuk berdepan Terengganu FC yang kini berada dalam kelompok empat pasukan teratas liga. Perlawanan itu pasti sukar.
"Matlamat kami di Terengganu adalah untuk mengutip mata dan kami akan berusaha mencapainya," kata Aidil.
Bercakap mengenai perlawanan menentang Harimau Kumbang, Aidil menegaskan pasukannya perlu menyudahkan peluang dengan lebih baik jika mereka ingin terus beraksi cemerlang dalam liga.
“Kami mendominasi dan banyak peluang tercipta dalam setiap perlawanan, tetapi penyudah perlu diperbaiki. Saya tidak hanya menumpukan kepada penyerang tetapi seluruh pasukan.
"Matlamat kami adalah untuk memperbaiki bahagian penyudah agar lebih tajam dan dari segi komitmen, pemain sudah memberikan yang terbaik," tambahnya.
Kuching City kini menduduki tempat keenam dalam liga dengan 23 mata dari 17 perlawanan, manakala Penang FC berada di tempat kesembilan dengan 20 mata dari 20 perlawanan. — The Star/CATHERINE THORBECKE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram