
ERA bola sepak baharu Malaysia kini bermula selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub secara rasmi diumum sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu pada Februari lepas.
Mohd Joehari menang tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan itu pada kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 yang berlangsung pada Sabtu lepas.
Beliau yang sebelum ini menggalas tugas sebagai Naib Presiden badan induk berkenaan turut menjadi individu pertama dari Sabah menerajui badan induk bola sepak negara.
BACA LAGI: Usah persoal keputusan FAM, tapi hormatilah pandangan Subkhiddin — Pakar
BACA LAGI: Lepas hilang Ivan Mamut, Exco FAM sahkan tonggak Terengganu alami ACL
Ramai pihak dan penyokong berharap dibawah pemerintahan baharu ini, bola sepak Malaysia akan bertambah baik sama ada dari segi pembangunan bola sepak dan prestasi skuad kebangsaan itu sendiri.
Antara yang berharap perkembangan positif berlaku dalam badan induk berkenaan adalah jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim dengan dia turut menitip pesanan buat Mohd Joehari.
Irfan Bakti berkata, Mohd Joehari selaku Presiden baharu FAM perlu tegas dalam pendiriannya dalam membuat keputusan dengan tidak dipengaruhi dengan mana-mana pihak lain.
Hal ini kerana, presiden yang berupaya membuat keputusan dengan tegas mampu membantu menambah baik tiga perkara iaitu pembangunan bola sepak, membaiki struktur akar umbi dan juga pasukan bola sepak kebangsaan.
"Untuk elak campur tangan daripada mana-mana pihak dalam bola sepak kita, presiden baharu kena firm dan berani dalam membuat keputusan. Yang pertama dan kedua kena periksa semula pembangunan bola sepak dan akar umbi. Perlu ada perubahan dari pelantikan baharu ini.
"Selepas itu, skuad kebangsaan juga perlu ditambah baik menerusi Liga Malaysia. Kalau Liga Malaysia baik, maknanya skuad kebangsaan pun akan baik. Kalau kita tengok tahun ini, jadual agak hambar," katanya kepada Majoriti.
Irfan Bakti berharap Mohd Joehari akan mengubah bola sepak Malaysia. — Facebook/KuchingCity
Dalam pada itu, bekas jurulatih Terengganu tersebut juga bersetuju jika Mohd Joehari dinilai untuk satu tempoh, seperti konsep 100 hari yang dilaksanakan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).
"Tidak boleh nilai kalau dalam masa 100 hari, nanti susah mereka nak perform. Kalau dalam bola sepak, ia terlalu pendek. Mungkin boleh dipanjangkan sedikit. 100 hari ini untuk orang politik boleh lah," ujarnya.
Untuk info, Mohd Joehari akan menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram