
MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkongsi kisah menyentuh hati mengenai bagaimana Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membawa pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke Pontian untuk melawat beberapa keluarga yang menghadapi cabaran hidup yang getir.
Menurut Onn Hafiz, lawatan tersebut diadakan pada 16 Februari hanya beberapa hari sebelum perlawanan besar pasukan menentang Pohang Steelers dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Kisah tersebut dikongsikan oleh Onn Hafiz di laman rasmi Facebook, JOHOR Southern Tigers pada Khamis.
BACA LAGI: JDT lebur rekod buruk, tundukkan Pohang demi aksi lebih mudah di pusingan ke-16 ACLE
BACA LAGI: Lupakan cerita di Bandaraya, Aidil Sharin mahu The Cats fokus aksi bertemu Sang Penyu
"Baginda menelefon pengurusan dan para pemain JDT serta 'memaksa' mereka untuk menaiki bas menuju Pontian. Tunku Mahkota Ismail membawa pasukannya untuk melawat seorang lelaki yang baru sahaja kehilangan isteri dan kini terpaksa membesarkan empat anak dengan pelbagai kesulitan hidup.
"Keluarga yang dilawati berkenaan sedang berdepan masa yang sukar dan lelaki tersebut bekerja keras untuk menampung kehidupan," katanya.
Menurutnya lagi, selepas sesi lawatan itu, Baginda membawa pemain dan pengurusan JDT ke sebuah kedai kopi di Pontian dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana hadir memberi sokongan.
Dalam sesi tersebut, Baginda mengingatkan para pemain betapa bertuahnya mereka dengan mengatakan bahawa cabaran yang dihadapi oleh pasukan JDT tidak dapat dibandingkan dengan cabaran kehidupan keluarga tersebut.
Tunku Mahkota Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ itu turut mengingatkan bahawa tekanan sebenar Baginda adalah tanggungjawab terhadap empat juta rakyat Johor.
"Bagi pemain, tekanan mereka adalah untuk ‘perform' dalam setiap perlawanan. Namun bagi Baginda, tanggungjawabnya adalah kepada 4 juta rakyat Johor yang tinggal di Johor.
Tindakan murni TMJ itu memperlihatkan sisi kemanusiaan dan kasih sayang yang mendalam terhadap rakyat Johor selain memberi pengajaran kepada pemain dan semua yang terlibat tentang nilai kesyukuran dan keprihatinan terhadap orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram