
SORAKAN gemuruh bergema di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor selepas juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mencuri slot ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara AFC (Elite) ACLE pada Rabu.
JDT berjaya meleburkan rekod buruk mereka dengan Pohang Steelers apabila menewaskan wakil Korea Selatan itu dengan keputusan 5-2.
Pada babak pertama menyaksikan anak-anak buah Hector Bidoglio itu dilihat melakukan serangan bertali arus ke kubu pelawat.
BACA LAGI: Tuah atau sial jadual beri tekanan kepada Kuching City FC kekalkan sasaran top 6
BACA LAGI: Lupakan cerita di Bandaraya, Aidil Sharin mahu The Cats fokus aksi bertemu Sang Penyu
Oscar Arribas muncul penjaring utama buat JDT.
Walaupun asakan demi asakan dilancarkan, skuad Harimau Selatan gagal menghasilkan gol.
JDT hampir berada di hadapan apabila percubaan Juan Muniz untuk menjaringkan gol pendahuluan tersasar di atas palang selepas sepakan penjuru diberikan.
Berbeza dengan JDT, Pohang Steelers memulakan permainan dengan perlahan namun mengejutkan gawang Harimau Selatan apabila penyerang tengah mereka, Lee Ho-jae,berjaya menjaringkan gol untuk menewaskan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.
Tersentak dengan jaringan itu, JDT mengubah corak permainan dan melancarkan serangan balas.
Gol yang dinantikan akhirnya tiba meskipun percubaan tandukan penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva pada awalnya berjaya ditepis oleh penjaga gol Yun Pyeong-Gook, namun tindakan susulan Oscar Arribas menyamakan kedudukan 1-1 di SSI.
Kembali dari rehat, JDT menunjukkan kebangkitan luar biasa dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol lawan.
Pada minit ke-50, kemahiran individu Bergson memperdaya penjaga gol Pohang Steelers, dan dua minit kemudian gol kedua berjaya dihasilkan.
Kesilapan mudah yang dilakukan oleh Yun Pyeong-Gook dihukum apabila Arif Aiman Hanapi mudah menjaringkan gol pada minit ke-56, sekali gus menambah jaringan untuk pasukan tuan rumah.
JDT layak ke pusingan 16 ACLE selepas mudah menundukkan Pohang Steelers.
Sorakan gemuruh di SSI kembali bergema selepas Bergson menjaringkan gol kedua peribadinya dalam ACLE, namun gol itu dibatalkan oleh pengadil kerana kedudukan ofsaid.
Kelekaan benteng pertahanan Harimau Selatan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pohang Steelers apabila Kang Hyeon-je dengan mudah menendang bola masuk ke gawang JDT, yang ketika itu tiada pemain menghalang percubaan tersebut.
JDT hampir berada di kedudukan selesa apabila penyerang kelahiran Brazil, Heberty Fernandes berjaya menjaringkan gol keempat.
Namun, jaringan itu dibatalkan selepas Heberty dikesan melakukan kekasaran terhadap penjaga gol lawan.
Bagaimanapun, bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez berjaya mengubati kekecewaan penyokong Harimau Selatan apabila pengalaman luasnya dalam bola sepak menambah derita buat pelawat pada minit-minit akhir babak kedua.
Drama penghujung aksi di SSI menyaksikan JDT berhasil meraih gol kelima selepas Jorge Obregon menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir selepas dikasari dalam kotak penalti.
Keputusan 5-2 ini sudah cukup untuk membawa JDT ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram