
MEMASUKI minggu ketiga Liga Super Bola Jaring (NSL) 2025, peminat sukan tersebut terus disajikan pelbagai aksi menarik membabitkan lapan pasukan dari seluruh negara.
Ini termasuk pertembungan antara Perak Phoenix dan Negeri Sembilan (NS) Venom yang berlangsung pada Sabtu di Stadium Juara, Bukit Kiara dengan kedua-dua pasukan berada dalam rentak berbeza setakat ini.
NS Venom yang berada di kedudukan tercorot carta sememangnya bercita-cita besar untuk mencatatkan kemenangan pertama sementara lawan mereka itu mahu mengumpul tiga mata penuh untuk memintas juara bertahan, Johor Jewels.
BACA LAGI: [VIDEO] Rekod Pahang dirampas, Ashwinii jadi kunci Putrajaya Dynamites raih kemenangan terbesar NSL
Bagaimanapun, kemenangan akhirnya berpihak kepada Perak Phoenix dengan keputusan 66-33 bagi meraih mata kesembilan selepas enam perlawanan, sekali gus membolehkan mereka menduduki kelompok tiga teratas.
Aksi berkenaan dihiasi serangan demi serangan daripada kedua-dua pasukan, namun import pasukan Utara tanah air itu, Batamuliza Mercy yang menjadi tumpuan utama permainan.
Dalam rakaman perlawanan yang dimuat naik di media sosial NSL, tonggak di posisi penahan gol (GD) itu menampilkan aksi bersemangat apabila memintas beberapa hantaran NS Venom.
Kecemerlangan import berkenaan menyaksikannya diberi anugerah pemain terbaik perlawanan selepas merekodkan 15 pintasan dan empat bantuan jaringan secara keseluruhan.
Kemenangan selesa diraih Perak Phoenix dalam aksi keenam mereka musim ini. — Facebook/NSL
Tetapi, kisah sebaliknya disaksikan dalam kem NS Venom apabila import mereka, Arirak Ampharat kurang memberi impak sehingga membuatkan penyokong kurang senang dengan kelibatnya.
Menurut mereka, pemain dari Thailand tersebut terlalu kerap menunggu hantaran rakan sepasukan dan tidak bergerak dengan ligat di dalam zon jaringan sehingga menjadi punca kekalahan pasukan.
"Arirak itu sejak musim lalu bersama Terengganu Marvels sudah nampak kekurangannya dalam pasukan," kata Noor Dina Zainudin.
"Arirak itu musim ini lebih mengecewakan. Bergerak tidak, lompat apatah lagi. Harapkan ketinggian sahajalah," kata Kamarul Harry.
Walaupun kerap menjadi bahan bualan, Arirak masih menjadi aset utama NS Venom kendalian Fatimah Salleh kerana dia sudah mencatatkan 138 jaringan.
Musim lalu, dia yang merupakan antara pemain tertinggi dalam NSL beraksi buat Terengganu Marvels yang beraksi cemerlang, namun tidak berpeluang meloloskan diri ke pusingan kalah mati.
NS Venom selepas ini akan beraksi menentang Kuala Lumpur (KL) Wildcats sementara Perak Phoenix bertemu Putrajaya Dynamites dengan kedua-dua aksi itu akan diadakan pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram