[VIDEO] Bukan Bergson da Silva, fans banding rekod Romel Morales dengan bintang baharu Indonesia


  • Podium
  • Rabu, 12 Feb 2025

Romel antara pemain terakhir dinaturalisasikan sebelum kehadiran Bergson dan Hidalgo.

BERITA mengenai Bergson da Silva bakal menyarung jersi Harimau Malaya pastinya memberikan sedikit senyuman buat penyokong bola sepak Malaysia untuk melihat kembali skuad kebangsaan bangkit selepas ketiadaan Kim Pan-gon.

Penjaring terbanyak Liga Super itu dikhabarkan akan menyarung jersi Harimau Malaya seperti dinyatakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Disember lalu.

Rekod Bergson di Liga Super semestinya membuatkan banyak pihak lawan gerun. Manakan tidak pemain berusia 34 tahun itu telah meledak 95 jaringan bersama JDT.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada tempat di JDT, Francisco Geraldes ikut jejak Liridon 'dihantar' ke Australia

BACA LAGI: [VIDEO] Ramon Marcote beri 9 tip buat kelab Liga M terus maju

Jumlah keseluruhan jaringan Bergson bersama JDT dalam semua kejohanan ialah 139 gol sejak 2021.

Rekod itu sudah membuktikan bahawa Bergson merupakan seorang penyerang yang berprolifik dalam menjaringkan gol.

Namun begitu, di media sosial seorang penyokong mula membuat perbandingan rekod pemain kebangsaan dengan bintang warisan baharu Indonesia, Ole Romeny.

Lebih mengejutkan pemain dibandingkan itu bukanlah Bergson tetapi rakan sepasukannya di JDT, Romel Morales yang mula menyarung jersi Harimau Malaya Januari tahun lalu.

Menerusi perkongsian Mohd Khairul Shahrim di Facebook, perbandingan itu dibuat mengikut umur, pengalaman dan rekod semasa di kelab masing-masing.

Rumusan daripada perbandingan itu, Romel lebih nampak ke hadapan berbanding Ole meskipun penyerang baharu Indonesia tersebut beraksi di Eropah.

"Romel Morales telah membuktikan dirinya sebagai penjaring gol yang lebih konsisten dan prolifik dalam karier kelabnya, terutamanya di Asia Tenggara bersama JDT.

"Kejayaannya dalam pertandingan serantau serta impaknya yang berterusan dalam Liga Malaysia menjadikannya pemain yang sangat bernilai untuk skuad Malaysia.

"Ole Romeny, walaupun tidak seproduktif Morales dari segi jumlah gol, mempunyai pengalaman yang lebih pelbagai di liga utama Eropah. Pengalaman ini boleh memberinya kelebihan taktikal dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai gaya permainan.

"Persembahannya bersama FC Emmen dan Utrecht menunjukkan bahawa dia mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada skukad kebangsaan Indonesia.

"Morales mungkin mempunyai kelebihan dari segi kejayaan kelab baru-baru ini dan konsistensi, terutamanya dalam konteks Asia Tenggara. Namun, pengalaman Romeny di Eropah serta potensinya untuk memberi impak kepada pasukan kebangsaan Indonesia, boleh menjadikannya prospek menarik jika dia berjaya menyesuaikan diri dengan baik.

"Kedua-dua pemain membawa kekuatan yang berbeza kepada pasukan kebangsaan masing-masing, dengan Morales lebih dikenali sebagai penjaring gol yang mantap dan konsisten, manakala Romeny menawarkan kepelbagaian taktikal hasil pengalamannya di Eropah.

"Romel Morales dan Ole Romeny adalah pemain naturalisasi bagi negara masing-masing.

"Romel Morales telah dinaturalisasikan untuk bermain bersama Malaysia, yang mana dia telah membuktikan nilainya kepada pasukan.

"Ole Romeny pula dinaturalisasikan untuk bermain bersama Indonesia, walaupun berasal daripada latar belakang bola sepak Eropah.

"Justeru, kedua-dua pemain adalah sebahagian daripada trend yang semakin berkembang dalam bola sepak, yang mana pemain naturalisasi memperkukuhkan pasukan kebangsaan.

"Namun, dalam situasi Morales, sumbangannya kepada Malaysia sudah lebih jelas dan berimpak, sementara Romeny masih berada di peringkat awal dalam usaha membuktikan dirinya bersama Indonesia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram